Stok penimbal tangani gangguan bekalan gula di Sabah, Sarawak

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 3:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Stok Penimbal Gula Putih Bertapis bagi Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula 1 Mei ini.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata mekanisme yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu bertujuan menangani sebarang isu gangguan bekalan gula khususnya di musim perayaan.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan katanya, stok penimbal itu dianggarkan mampu bertahan menyalurkan bekalan gula kepada pengguna secara konsisten dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, sebanyak 2,000 tan metrik ditetapkan bagi kadar stok penimbal itu iaitu masing-masing 1,000 tan metrik untuk Sabah termasuk Labuan dan 1,000 tan metrik untuk Sarawak.

“Sabah dan Sarawak bergantung penuh kepada bekalan gula dari Semenanjung dan situasi ini mampu menyebabkan gangguan bekalan khususnya di musim perayaan disebabkan permintaan tinggi.

“Ditambah lagi dengan faktor lojistik dan situasi global menyebabkan kemungkinan berlaku gangguan bekalan sangat besar sebagaimana yang terjadi pada bulan Ogos hingga Oktober tahun 2023 lalu.

“Justeru itu, KPDN merangka langkah khusus dengan mewujudkan Stok Penimbal Gula Putih Bertapis untuk Sabah dan Sarawak bagi menangani masalah ini dan telah dipersetujui jemaah menteri pada Mac tahun ini.

“Sekiranya ada gangguan bekalan selepas ini, kita akan ‘release’ stok (gula) ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Papar dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kawang, di sini, Ahad,

Hadir sama Yang Di Pertua Negeri Sabah (TYT) Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor serta isteri Datin Seri Julia Salag dan Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam pada itu, Armizan berkata, selain stok penimbal, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan bagi subsidi pengangkutan perkapalan dan penghantaran bekalan gula ke Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, sebanyak RM38 juta setahun disediakan untuk tujuan itu berbanding RM19 juta sebelum ini sekaligus menjadi langkah tambahan bagi menangani isu gangguan bekalan komoditi tersebut.

Menurutnya, langkah proaktif pihaknya itu selain dapat menstabilkan bekalan, inisiatif itu juga dapat menstabilkan harga dengan memastikannya berada di paras ditetapkan iaitu RM2.85 sekilogram.

“Kita hanya berharap import gula mentah dari luar dan untuk pengetahuan, harga gula mentah ini jauh lebih tinggi iaitu lebih kurang RM3.85 sekilogram namun kerajaan telah beri insentif RM1 bagi setiap kilogram.

“Inisiatif untuk tempoh masa sementara ini membolehkan harga gula ditetapkan pada RM2.85 sekilogram,” katanya sambil memaklumkan tiada keperluan mewujudkan stok penimbal bekalan lainnya kerana negara mempunyai bekalan domestik mencukupi.

Terdahulu, Tun Musa dan Hajiji menyampaikan sumbangan tunai kepada 200 golongan asnaf di majlis itu yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.