liza25/11/2026 - 09:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – Straits Energy Resources Bhd mempertikaikan tuntutan pembayaran berjumlah RM10.62 juta yang dikemukakan IFS Capital (Malaysia) Sdn Bhd terhadap dua anak syarikatnya susulan dakwaan kegagalan memenuhi obligasi pembayaran di bawah perjanjian masing-masing.
Tuntutan itu melibatkan Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS), anak syarikat milik tidak langsung sebanyak 70% dalam Straits Energy dan Wire & Wireless Sdn Bhd (W&W) yang dimiliki secara tidak langsung sebanyak 51%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Straits Energy berkata kedua-dua anak syarikat berkenaan menerima notis pelanggaran perjanjian dan tuntutan pembayaran daripada IFS Capital bertarikh 23 November 2026.
IFS Capital menuntut RM6.80 juta daripada SCS dan RM3.82 juta daripada W&W, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM10.62 juta.
Bagaimanapun, Straits Energy menegaskan kedua-dua anak syarikatnya mempertikaikan dakwaan kegagalan pembayaran yang dibangkitkan oleh IFS Capital.
Tuntutan berpunca daripada urusan pembelian invois
Menurut syarikat itu, tuntutan berkenaan timbul daripada perjanjian masing-masing dan/atau pembelian obligasi pembayaran invois oleh IFS Capital berkaitan pembekalan barangan atau perkhidmatan kepada kedua-dua anak syarikat tersebut.
Di bawah aturan berkenaan, IFS Capital mendakwa SCS dan W&W gagal memenuhi obligasi pembayaran masing-masing seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.
Bagaimanapun, Straits Energy tidak memperincikan dalam makluman itu alasan khusus yang menjadi asas pertikaian kedua-dua anak syarikat terhadap tuntutan berkenaan.
Straits Energy turut beri jaminan korporat
Dalam perkembangan berkaitan, Straits Energy mendedahkan syarikat itu telah menandatangani jaminan korporat dan indemniti kepada IFS Capital pada 14 Mei 2025.
Jaminan tersebut meliputi obligasi pembayaran kedua-dua anak syarikat di bawah perjanjian masing-masing yang meletakkan syarikat induk dalam kedudukan yang turut mempunyai pendedahan terhadap tuntutan berkenaan.
Berdasarkan penyata kewangan disatukan terkini kumpulan setakat 30 Jun 2026, jumlah tuntutan RM10.62 juta itu bersamaan kira-kira 9.3% daripada aset bersih kumpulan berjumlah RM114.21 juta.
Straits Energy berkata kumpulan itu tidak menjangkakan tuntutan berkenaan memberi kesan buruk yang material terhadap operasi, namun implikasi kewangannya bergantung kepada keputusan pertikaian, termasuk kebolehkuatkuasaan perjanjian serta hasil tuntutan balas yang mungkin dikemukakan kedua-dua anak syarikat.
Operasi diteruskan, perisytiharan solvensi dikemukakan
SCS dan W&W, yang tidak dikategorikan sebagai anak syarikat utama di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia, terus menjalankan operasi seperti biasa.
Lembaga pengarah Straits Energy turut berpandangan kumpulan itu berupaya memenuhi obligasi hutangnya apabila tiba tempoh pembayaran bagi 12 bulan akan datang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat itu akan mengemukakan perisytiharan solvensi (Solvency Declaration) kepada Bursa Malaysia dalam tempoh tiga hari dagangan.
Selain itu, kumpulan berkenaan akan menyediakan kemas kini bulanan kepada Bursa Malaysia mengenai perkembangan dakwaan kemungkiran pembayaran tersebut serta langkah yang diambil bagi menanganinya.- DagangNews.com




