Straits Energy rancang pelbagaikan perniagaan ke sektor EPCC dan pengurangan modal RM90 juta

Business & Finance
25 Nov 2026 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Straits Energy rancang pelbagaikan perniagaan ke sektor EPCC dan pengurangan modal RM90 juta Image from: Straits Energy rancang pelbagaikan perniagaan ke sektor EPCC dan pengurangan modal RM90 juta hamden25/11/2026 - 16:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Straits Energy Resources Bhd (Straits Energy) merancang mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap segmen pembekalan minyak (bunkering) yang berdepan tekanan operasi dan ketidaktentuan pasaran global.

 

Pada masa sama, kumpulan turut mencadangkan pengurangan modal terbitan dan berbayar sebanyak RM90 juta serta mendapatkan mandat pemegang saham bagi melupuskan keseluruhan pegangan 18.68% dalam CBL International Ltd (CBLIL).

 

Menurut pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 25 November 2026 yang disiarkan menerusi Bursa Malaysia, cadangan kepelbagaian perniagaan itu susulan prestasi segmen pembekalan minyak yang menyumbang lebih 97% hingga 98.93% daripada jumlah pendapatan kumpulan, tetapi mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM80.60 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026).

 

Prestasi berkenaan dipengaruhi ketidaktentuan harga minyak global, ketegangan geopolitik serta gangguan terhadap aktiviti perkapalan dunia.

 

Perluas pendedahan kepada sektor EPCC

Menerusi kepelbagaian itu, Straits Energy berhasrat memperluas penawaran perkhidmatan EPCC merangkumi sektor minyak dan gas, infrastruktur awam dan bandar pintar, pusat data, tenaga boleh baharu, kesihatan serta pendidikan.

 

Perniagaan baharu itu akan disokong kepakaran segmen Perkhidmatan Telekomunikasi dan Rangkaian sedia ada menerusi anak syarikatnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS).

 

SCS merupakan kontraktor Gred G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membolehkannya menyertai projek tanpa had nilai kontrak, selain memiliki status Malaysia Digital (MD) bagi menyokong penawaran infrastruktur digital dan bandar pintar.

 

Pengurusan segmen EPCC baharu itu akan diketuai Pengarah Operasi, Beh Swee Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif SCS, Ho Khin Choy.

 

Kenal pasti projek sasaran RM297.5 juta

Lembaga Pengarah menjangkakan perniagaan EPCC berpotensi menyumbang 25% atau lebih kepada keuntungan bersih kumpulan atau melibatkan pengalihan 25% atau lebih daripada aset bersih kumpulan pada masa hadapan.

 

Sebagai langkah awal, Straits Energy mengenal pasti beberapa projek sasaran dengan anggaran nilai kontrak indikatif keseluruhan sebanyak RM297.5 juta.

 

Ia merangkumi:

  • Projek pembinaan unit kilang separuh berkembar bernilai RM160 juta.

  • Pembinaan kemudahan asrama pelajar dan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai RM37.5 juta.

  • Pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar bagi loji solar berkapasiti 25 megawatt (MW) bernilai RM100 juta.

 

Margin keuntungan bersih indikatif bagi projek EPCC berkenaan dianggarkan antara 5% hingga 15%.

 

Cadang pengurangan modal RM90 juta

Sementara itu, Straits Energy mencadangkan pengurangan modal terbitan dan berbayar sebanyak RM90 juta di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

 

Kredit daripada pengurangan modal itu akan digunakan untuk mengimbangi sebahagian kerugian terkumpul syarikat berjumlah RM102.02 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Mohon mandat jual pegangan 18.68% dalam CBLIL

Straits Energy turut memohon mandat pemegang saham untuk melupuskan sehingga 466,892 saham biasa, mewakili 18.68% kepentingannya dalam CBL International Ltd (CBLIL) yang disenaraikan di bursa NASDAQ, dalam tempoh 12 bulan.

 

Pelupusan itu dijangka menjana hasil tunai sehingga RM28.86 juta berdasarkan senario maksimum, yang akan digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja am kumpulan.

 

Kesemua resolusi berkenaan akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 Straits Energy yang dijadualkan berlangsung pada 17 Disember 2026 di Kelab Golf Negara Subang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved