Sum Technology menang kontrak pusat data RM48 juta di Selangor

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 6:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sum Technology menang kontrak pusat data RM48 juta di Selangor Image from: Sum Technology menang kontrak pusat data RM48 juta di Selangor hamden24/11/2026 - 18:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Sum Technology Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sum Technic Sdn. Bhd. (STSB), memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM48 juta bagi kerja-kerja mekanikal, elektrikal, utiliti proses dan sistem pemadaman kebakaran (MEPF) untuk projek pusat data di Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata STSB menerima Surat Anugerah bagi kontrak berkenaan bertarikh 23 November 2026.

 

Skop kerja merangkumi pembekalan, pemasangan, pentauliahan, pengujian dan penyelenggaraan sistem MEPF bagi pusat data berkenaan.

 

Bagaimanapun, identiti pelanggan dan pemilik pusat data itu tidak didedahkan berikutan Perjanjian Kerahsiaan (NDA) yang ditandatangani antara STSB dengan pelanggan pada 16 November 2026.

 

Sum Technology berkata kontrak itu dilaksanakan dalam kegiatan perniagaan biasa kumpulan.

 

Dari segi terma pembayaran, STSB akan menerima deposit sebanyak 10% daripada nilai keseluruhan kontrak selepas perjanjian ditandatangani, manakala 80% lagi akan dibayar berdasarkan tuntutan kemajuan kerja bulanan.

 

Selepas proses penerimaan akhir, pentauliahan dan penyerahan projek kepada pelanggan selesai, pembayaran akan mencapai 95% daripada nilai kontrak.

 

Baki 5% pula akan dipegang sebagai deposit jaminan kualiti sepanjang tempoh waranti selama 24 bulan.

 

Kumpulan itu berkata tarikh permulaan dan penyiapan kontrak masih belum dimuktamadkan.

 

Dari segi kewangan, kontrak berkenaan tidak memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Sum Technology, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya sehingga projek selesai.

 

Dalam pada itu, kumpulan mengenal pasti perubahan persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia sebagai antara risiko yang boleh menjejaskan pelaksanaan kontrak.

 

Risiko operasi termasuk kemungkinan kelewatan penyiapan projek serta kekurangan bahan dan tenaga kerja mahir.

 

Sum Technology berkata pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved