hamden25/11/2026 - 18:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Handal Energy Berhad berdepan tuntutan pembayaran sebanyak RM9.79 juta daripada Seaoffshore Shared Sdn Bhd (SSSB), yang memberi amaran prosiding gulung tikar boleh dimulakan sekiranya jumlah berkenaan gagal dijelaskan dalam tempoh 21 hari selepas penyampaian notis.
Notis menurut Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 bertarikh 5 November 2026 itu diterima Handal melalui peguam caranya pada 6 November 2026, bersama Perintah Mahkamah Tinggi bermeterai dan Sijil-Sijil Allocatur.
Menurut pengumuman kepada Bursa Malaysia, notis berkenaan dikeluarkan oleh Tetuan Vinodhan Kuppusamy, peguam cara yang mewakili SSSB.
Bagaimanapun, Handal menjelaskan notis itu belum disampaikan kepada Syarikat, sama ada di alamat perniagaan mahupun pejabat berdaftarnya.
Syarikat berpandangan memandangkan notis berkenaan belum disampaikan, ia tidak berkuat kuasa bagi tujuan Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016.
Namun, mengambil kira pengetahuan Syarikat mengenai kewujudan notis itu, Lembaga Pengarah memutuskan untuk membuat pengumuman berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga dan demi kepentingan ketelusan.
Pecahan tuntutan
Jumlah RM9.79 juta yang dituntut merangkumi baki penghakiman tertunggak sebanyak RM9.58 juta setakat 30 Jun 2024, invois Julai 2024 berjumlah RM170,368.83, kos sebanyak RM10,000, fi allocatur RM400 serta faedah RM22,717.02.
Notis itu menyatakan bahawa sekiranya jumlah berkenaan tidak dibayar kepada SSSB atau peguam caranya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penyampaian, Handal akan dianggap tidak berupaya membayar hutangnya dan prosiding penggulungan akan dimulakan tanpa notis lanjut.
Faedah ke atas jumlah penghakiman terus terakru pada kadar 5% setahun, bersamaan kira-kira RM1,336.30 sehari sehingga penyelesaian penuh dan muktamad.
Handal fail rayuan, pertahan diri daripada prosiding penggulungan
Sementara itu, Handal memaklumkan rayuan telah difailkan terhadap perintah Penghakiman Terus bertarikh 19 Oktober 2026, yang menjadi asas kepada pengeluaran notis berkenaan.
Syarikat kini sedang mengambil langkah perundangan yang perlu bagi mempertahankan dirinya daripada sebarang kemungkinan prosiding penggulungan.
Dari segi kesan kewangan, Handal berkata notis itu bukan merupakan petisyen gulung tikar atau perintah penggulungan terhadap Syarikat.
Penerimaan notis berkenaan juga dijangka tidak memberi kesan material terhadap operasi kumpulan pada peringkat ini.
Bagaimanapun, kesan kewangan terhadap kumpulan merangkumi jumlah tuntutan RM9.79 juta, faedah yang terus terakru serta kos guaman.
Selain jumlah yang dituntut, faedah berterusan dan kos guaman berkaitan, Lembaga Pengarah tidak menjangkakan sebarang kerugian material tambahan berikutan notis itu. - DagangNews.com






