hamden26/11/2026 - 11:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengamalkan strategi pelaburan berdisiplin berasaskan Agihan Aset Strategik (SAA) bagi memastikan keupayaannya menjana pulangan dividen yang kompetitif dan mampan untuk ahli dalam jangka panjang.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pengagihan aset secara strategik merentasi pelbagai kelas aset, sektor, geografi dan mandat, berdasarkan had toleransi risiko yang diluluskan Lembaga KWSP.
"Strategi berkenaan membolehkan KWSP mengimbangi objektif menjana pulangan pelaburan dengan pengurusan risiko secara berhemah, selain memastikan prestasi pelaburan dapat dikekalkan merentasi pelbagai kitaran pasaran," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai strategi kerajaan memastikan dividen KWSP kekal kompetitif, sekurang-kurangnya pada paras 6%, tanpa menjejaskan prinsip pelaburan berhemah dan hala tuju pelaburan pasaran domestik.
Chin Tong menambah, strategi SAA merupakan sebahagian daripada pendekatan jangka panjang institusi itu dalam mengurus simpanan persaraan ahli, dengan matlamat menjana pulangan sebenar yang kompetitif dan mampan.
Setakat 30 September 2026, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.55 trilion.
Dalam pada itu, pergerakan pasaran dan persekitaran ekonomi turut memainkan peranan penting dalam menentukan kadar dividen yang diisytiharkan KWSP dalam jangka pendek.
Bagi menyokong pelaksanaan strategi pelaburan dan pengurusan risiko secara berkesan, KWSP turut memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan organisasinya menerusi pembangunan modal insan, pemanfaatan teknologi dan data serta amalan tadbir urus yang mantap.
Langkah itu bertujuan memastikan keupayaan organisasi terus dipertingkat bagi menyokong matlamat pelaburan jangka panjang serta mengekalkan prinsip pengurusan dana yang berhemah.
KWSP mengurus simpanan persaraan ahli dengan memberi keutamaan kepada penjanaan pulangan sebenar jangka panjang yang kompetitif dan mampan merentasi pelbagai keadaan pasaran. - DagangNews.com




