hamden26/11/2026 - 11:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Jumlah aset pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah RM1.55 trilion setakat 30 September 2026, meningkat kira-kira 10% berbanding akhir tahun lalu, menurut Kementerian Kewangan dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini.
Aset pelaburan dana persaraan itu berjumlah RM1.54 trilion pada akhir Jun 2026 dan RM1.409 trilion pada akhir Disember 2025. KWSP sebelum ini melaporkan angka setakat akhir September itu dalam laporan prestasi pelaburannya pada 16 November.
Kementerian itu menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, mengenai strategi kerajaan untuk mengekalkan dividen KWSP pada paras sekurang-kurangnya 6% sambil memastikan pelaburan kekal berhemah dan menyokong hala tuju pelaburan domestik dana itu.
Menurut kementerian, keadaan pasaran dan ekonomi dalam jangka pendek memainkan peranan penting dalam menentukan kadar dividen. Bagi jangka panjang, KWSP mempelbagaikan pelaburan merentasi kelas aset, sektor dan pasaran mengikut had toleransi risiko yang diluluskan lembaganya.
Bagi 2025, KWSP mengagihkan dividen sebanyak RM79.6 bilion pada kadar 6.15% masing-masing bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah.
Pelaburan luar negara jana 53% pendapatan suku ketiga
Pelaburan luar negara merangkumi 38% daripada aset pelaburan KWSP pada akhir September dan menjana RM13.68 bilion, bersamaan 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga.
Ekuiti membentuk 47.1% daripada portfolio KWSP dan menjana RM17.41 bilion, bersamaan 67% daripada pendapatan pelaburan suku itu. Instrumen pendapatan tetap pula merangkumi 44% daripada portfolio dan menyumbang RM7.12 bilion.
Pendapatan pelaburan meningkat 30% kepada RM83.32 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026. Pertumbuhan pada suku ketiga lebih perlahan, dengan pendapatan meningkat 3% kepada RM25.82 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pada 16 November bahawa pertumbuhan pendapatan dijangka terus perlahan pada suku keempat susulan kelemahan pasaran saham global dan peningkatan hasil bon.
KWSP mempunyai lebih 18.6 juta ahli pada akhir September, termasuk 11.2 juta ahli aktif. Jumlah caruman pada suku ketiga meningkat 9.3% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM30.44 bilion. — DagangNews.com





