Telefon pintar dalam genggaman anda sekarang adalah portal pergi ke benua lain dengan sekelip mata, menjadi sumber maklumat, mesin hiburan dan boleh melakukan pembayaran apabila diperlukan. Rata-ratanya telefon pintar sekarang adalah pelanduk 1000 serupa yang jarang sekali menawarkan pengalaman unik kepada pemilik.

Inilah yang membezakan peranti skrin lipat dengan peranti biasa kerana siri Z Fold8 dan Z Flip8 yang baru dilancarkan menawarkan pelbagai ciri yang menjadikannya peranti komik, kreatif dan K-Pop trbaik di pasaran sekarang.
Samsung Galaxy Z Fold8 – Dimensi Baharu.
Sejak hari pertama saya menggunakan Z Fold8 saya sudah jatuh hati dengan rekaan skrin lebar dan tubuhnya yang lebih kompak. Skrin luar 16:10 dan skrin dalam 4:3 menjadikannya peranti yang terbaik untuk mereka yang suka membaca ebuku atau komik.

Kedua-dua nisbah ini membolehkan keseluruhan komik dipaparkan pada skrin tanpa palang hitam yang menghantui nisbah skrin lain. Ini dibantu pula oleh skrin Z Fold8 yang memang berbentuk empat segi seperti buku, komik dan manga yang saya baca ketika masih muda belia dahulu.
Tiada peranti lipat lain dengan skrin yang sama menjadikan Z Fold8 benar-benar unik. Pada peranti lipat lain skrin yang digunakan mempunyai bucu yang dibulatkan. Maka ilusi seakan membaca buku, komik dan manga tidak boleh dinikmati.

Dalam kedudukan terbuka, dua muka surat dipaparkan serentak, sekali lagi seperti sebuah buku, komik dan manga sebenar. Saya sudah lebih sedekad tidak membeli buku fizikal dan Z Fold8 ialah peranti paling hampir memberikan pengalaman seakan membaca buku fizikal.
Ada yang mengatakan ini sekadar nostalgiacore tetapi saya tak peduli kerana ia membolehkan saya mengimbau zaman membaca komik mini Doraemon, Mutiara Naga dan Misteri Naga ketika di asrama lebih tiga dekad yang lalu. Setiap detik dihabiskan membaca komik menerusi Z Fold8 terasa seperti ia sebuah Mesin Cahaya Masa yang membolehkan saya kembali ke zaman lampau.
Samsung Galaxy Z Fold8 – Fancam K-Pop
Antara fenomena yang semakin popular sejak muzik K-Pop memasuki Malaysia ialah peminat mengambil rakaman fancam. Video individu untuk ahli muzik berkumpulan dirakam sebagai bukti merekalah peminat nombor satu. Untuk melakukan rakaman fancam yang stabil adalah sukar dan memerlukan kemahiran videografi yang tinggi.

Dengan ciri My Fancam proses rumit menjadi mudah kerana proses menyunting, mencari subjek dan memastikan video diambil stabil dilakukan sepenuhnya oleh perisian telefon. Hanya perlu rakam video persembahan secara mendatar kemudian pergi ke Gallery untuk memilih My Fancam. Ia akan secara automatik mencari subjek manusia dalam video dirakam. Pilih siapa ingin dijadikan subjek, pilih nisbah skrin, orientasi output video dan tunggu ia diproses secara automatik.
Video fancam yang anda hasilkan kemudiannya boleh dikongsi dengan pantas ke media sosial tanpa perlu menghabiskan banyak masa melakukan suntingan secara manual.
Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra – Lebih Ruang dan Kamera
Bagi mereka yang belum bersedia berhijrah ke rekaan skrin lebih kompak dan lebar, anda tidak dilupakan oleh Samsung kerana Z Fold8 Ultra ditawarkan dengan skrin lebih besar serta konvensional. Skrin besar 6.5″ dan 8″ memberikan ruang lebih luas untuk tugasan produktiviti.

Skrin besar membolehkan pengguna melihat emel, kertas kerja dan mesej sekali pandang tanpa perlu melakukan tatalan. Apabila menaip ruang besar memberikan pengalaman menggunakan Z Fold8 Ultra sebagai sebuah tablet. Mod tiga aplikasi dilancarkan serentak juga boleh digunakan dengan lebih mudah disamping mod tiga tetingkap serentak.

NIlai tambahan lain ialah trikamera utama yang menawarkan kemampuan fotografi tahap mercu pada sebuah peranti lipat. Lensa ultra lebar dipadankan dengan sensor 200MP yang cukup besar, lensa ultra lebar 50MP dan telefoto 10MP lengkap dengan zum optikal 3X.
Samsung Galaxy Z Flip8
Tak dilupakan ialah Samsung Galaxy Z Flip8 yang kini satu-satunya peranti lipat jenis Flip dengan cip kelas mercu di pasaran Malaysia. Bagi mereka yang masih inginkan peranti lipat dengan estetik flip phone awal milenium inilah pilihan terbaik sekarang.

Jangan sangka si kecil ini juga “kecil” dari segi ciri. Ia dilengkapi ciri Super Steady yang mengunci ufuk. Apabila diaktifkan video akan sentiasa stabil dengan ufuk akan kekal mendatar tak mengira kedudukan kamera semasa dipegang. Ia adalah sistem penstabilan tanpa gimbal terbaik digunakan pada peranti Samsung.
Amatlah berguna sekiranya ingin mengambil rakaman vlog semasa berjalan laju atau sedang melakukan aktiviti lasak. Kualiti video stabil seakan mempunyai gimbal boleh dilakukan tanpa video dirakam tanpa membuatkan penonton terasa mual disebabkan getaran melampau.



