
DUNGUN – Seorang wanita warga emas risau keselamatan anak sulungnya yang hilang selepas keluar rumah mereka di Felda Kerteh 2, di sini sejak Sabtu lalu.
Meriam Che Jusoh, 71, berkata, Nor Mohd. Erwan Mad Lazim, 47, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menghidap penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung.
“Dia (Nor Mohd. Erwan) yang bekerja di Kuantan, Pahang pulang ke kampung berikutan kematian suami saya, Mad Lazim Jusoh, 71, juga bapanya akibat kanser paru-paru pada Rabu minggu lalu. Dia menemani saya sebelum keluar rumah untuk menemui kawannya di Kemasik, di sini pada Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kerteh 2, di sini hari ini.
Meriam berkata, sejak itu, Nor Mohd. Erwan bukan tidak pulang ke rumah malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
Tambah membimbangkan, anaknya keluar rumah tanpa membawa bekalan ubat-ubatan yang menjadi rutin hariannya.
Kosmo! Online zemalam melaporkan Nor Mohd. Erwan dipercayai keluar dengan menunggang motosikal berwarna biru dari rumahnya pada pukul 3 petang, Sabtu sebelum hilang. – KOSMO! ONLINE
The post Suami baru meninggal, anak sulung pula hilang appeared first on Kosmo Digital.


