
DUNGUN – Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Kerteh 2, di sini, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, Nor Mohd. Erwan Mad Lazim, 47, dipercayai keluar dengan menunggang motosikal berwarna biru dari rumahnya pada pukul 3 petang pada hari tersebut.
“Lelaki tersebut dikatakan mahu bertemu rakannya di Kemasik di sini namun tidak pulang ke rumah selepas itu. Dia juga gagal dihubungi ahli keluarganya biarpun dicari di bilik sewanya di Kuantan, Pahang,” katanya di sini, hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, adik Nor Mohd. Erwan yang bimbang telah membuat laporan polis di Balai Polis Ketengah Jaya di sini pada pukul 2.50 petang, kelmarin.
Beliau berkata, kali terakhir dilihat, Nor Mohd. Erwan yang bertubuh gempal dan berkulit hitam manis memakai baju jersi bewarna biru dan berseluar jeans.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat dimohon tampil membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Noraida Safa’ai di talian 019-9662966,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Erwan hilang sejak Sabtu lepas jumpa kawan appeared first on Kosmo Digital.






