Pemuda Didakwa Bunuh Pelajar Wanita Di Kuantan

12 Oct 2026 • 3:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemuda Didakwa Bunuh Pelajar Wanita Di Kuantan

KUANTAN - Seorang lelaki berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar wanita di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, pada 6 Oktober lalu.

Tertuduh, F. Alan Stevekumar, mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian M. Elisa Jonova, 19, di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, antara jam 4.32 pagi hingga 4.55 pagi pada 6 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohd Sabri Othman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Air Putih, dipercayai dibunuh teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada suspek yang memaklumkan berlaku pertengkaran antara dirinya dengan teman wanitanya.

Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan di lokasi kejadian sebelum direman bagi membantu siasatan. - Getaran, 12 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved