KLUANG - Seorang wanita berstatus isteri orang bersama seorang lelaki bujang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di daerah ini hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
Dalam satu kenyataan, JAINJ memaklumkan serbuan dilakukan kira-kira jam 12.40 tengah malam baru-baru ini di sebuah rumah teres dua tingkat.
"Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati pintu pagar rumah tidak berkunci sebelum memasuki kawasan halaman untuk menjalankan pemeriksaan.
"Pemeriksaan mendapati sebuah kereta dipercayai milik wanita itu dan sebuah motosikal kapcai dipercayai milik lelaki terbabit berada di hadapan rumah.
"Dua anggota penguat kuasa turut ditempatkan di bahagian belakang rumah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan cubaan melarikan diri," menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, pintu rumah dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia 26 tahun sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di seluruh rumah.
"Hasil pemeriksaan di tingkat atas menemukan seorang lelaki berusia 27 tahun berada di hadapan sebuah bilik. Soal siasat mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri yang sah.
"Wanita itu berstatus isteri orang dan bekerja manakala lelaki terbabit masih bujang serta menetap bersama keluarganya di daerah yang sama," katanya.
JAINJ berkata, wanita terbabit mengakui tinggal bersendirian selepas suaminya dipenjarakan beberapa bulan lalu manakala kedua-duanya mengaku sudah saling mengenali sejak beberapa tahun lalu.
"Lelaki itu datang ke rumah wanita terbabit pada jam 10 malam selepas mendapat lampu hijau daripada pasangannya.
"Mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat," katanya.






