Suami direman kes tumbuk, cederakan isteri

18 Jul 2026 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami direman kes tumbuk, cederakan isteri
Seorang penganggur direman enam hari bermula hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya di sebuah rumah di Jalan Kubang Siput Khamis lepas.- Foto Bernama.
Image from: Suami direman kes tumbuk, cederakan isteri
Seorang penganggur direman enam hari bermula hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya di sebuah rumah di Jalan Kubang Siput Khamis lepas. Foto Bernama.
Image from: Suami direman kes tumbuk, cederakan isteri
Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 40 tahun itu dan suspek 39 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau semalam. - Foto Bernama

ARAU - Seorang penganggur direman enam hari bermula hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya di sebuah rumah di Jalan Kubang Siput di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 40 tahun itu dan suspek 39 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau semalam.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa perselisihan faham antara suspek dan mangsa yang juga peniaga cendol pada kira-kira 5 petang yang membawa kepada pertengkaran mulut serta perbuatan mencederakan wanita itu.

**media[3586807]**

"Suspek dipercayai menarik rambut dan menekan kepala mangsa ke lantai serta menumbuk belakang pinggang mangsa dengan kuat sehingga mengakibatkan wanita itu sukar bernafas dan berdiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar selepas dirujuk polis dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut berdasarkan laporan penuh oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca selepas suspek menghalang mangsa membawa anak bongsu mereka berusia empat tahun keluar mengambil anak lain dari sekolah, namun wanita itu berbuat demikian kerana lelaki itu dikatakan mengamuk tanpa sebab selepas bangun tidur kira-kira 4 petang.

**media[3586809]**

Suspek dikatakan sering memukul mangsa dan mengamuk disebabkan ketagihan dadah sejak mereka berkahwin pada 2005 sehingga wanita itu membuat laporan polis beberapa kali selain berasa takut serta trauma untuk berada di rumah.

Ahmad Mohsin berkata suspek mempunyai enam rekod lampau termasuk kes dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved