SEGAMAT – [DIKEMAS KINI] Suami isteri antara tiga maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 210 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu melibatkan sebuah van dengan sebuah treler dan lori kargo.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an bersama empat penumpang berumur antara 20 hingga 60 tahun dari arah Segamat menghala masuk simpang ke arah Taman Golden Hill.
“Van tersebut kemudian dilanggar di bahagian belakang kiri oleh sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang bergerak di belakangnya.
“Akibat pelanggaran pertama, van termasuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori kargo dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
**media[3479918]**
Beliau berkata, pemandu van dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Katanya, dua lagi penumpang mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu treler dan lori kargo tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," ujarnya.
Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman di talian 07-9325811.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat dengan bantuan BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Gemas dikejarkan ke lokasi.
Operasi menyelamat dan pembersihan kawasan selesai sepenuhnya pada jam 5.35 petang.


