Suami isteri melecur, kedai alatan sembahyang Cina terbakar

3 Apr 2026 • 8:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Api yang marak membakar sebuah premis kedai di Kuala Krai. FOTO: Bomba

KUALA KRAI - Sepasang suami isteri melecur selepas kedai menjual kelengkapan sembahyang Cina milik mereka di Taman Central Park di sini terbakar pada Khamis.

Mangsa, Tan Teow Woi, 39, melecur di bahagian badan, manakala isterinya, Ooi Ying See, 32, turut melecur di bahagian badan dan kaki dalam kejadian jam 8.30 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG 999 pada jam 8.34 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Setibanya pasukan di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah premis kedai dianggarkan 100 peratus.

“Terdapat dua mangsa melecur iaitu pemilik premis yang sudah berada di luar premis yang terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pasangan terbabit dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk menerima rawatan lanjut

Operasi pemadaman melibatkan seramai 21 anggota daripada BBP Kuala Krai, BBP Sungai Durian serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Guchil.

“Kebakaran itu turut melibatkan sebuah kenderaan dan motosikal yang berada di hadapan premis berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 9.25 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.59 malam.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.