
KUALA LUMPUR – Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe menyatakan dia banyak berzikir, solat dan membaca al-Quran bagi menenangkan diri susulan tiada khabar berita tentang suaminya sehingga kini.
Hani Othman berkata, sejak pulang ke Malaysia pada 12 September lalu, dia tidak hanya duduk diam, sebaliknya mencari apa sahaja maklumat mengenai suaminya menerusi komputer peribadi, telefon lama dan dokumen.
“Saya juga terima pelbagai bentuk sokongan daripada keluarga serta rakan,” katanya.
Ditanya mengenai perkara yang paling diharapkan, Hani hanya mahukan jawapan yang pasti mengenai apa sahaja keadaan suaminya.
“Saya yang pernah berada di sana selama 15 hari amat memahami situasi dan cabaran yang pihak kerajaan lalui.
“Walaupun saya tahu dalam kes ini hanya Allah yang boleh membantu, saya harapkan, kalau boleh, usaha mencari itu tetap diteruskan. Tidak akan ada hasil tanpa usaha fizikal,” katanya.
Mohd Fakhrul dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) melalui laluan Tibet dipercayai terjejas akibat banjir dan tanah runtuh dahsyat ketika berada di sebuah lembah di Rasuwa.
Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos itu.
Bercerita lanjut, Hani memberitahu, dia dan keluarga reda dengan apa juga takdir yang ditetapkan buat suaminya.
“Sebagai isteri, sudah tentu saya mahu melihat suami pulang. Namun, selepas 29 hari melalui detik yang sangat menguji ini, saya mula reda dengan ketentuan Allah.
“Apa pun bentuk takdir yang Allah tetapkan, sama ada suami kembali kepada keluarga atau pulang menemui Pencipta-Nya dalam darjat syahid akhirat, saya dan keluarga reda.
“Kalau diberi keizinan olehNya, saya akan ke sana (Nepal) lagi. Saya akan continue (teruskan) apa yang suami saya lakukan sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hani turut menitipkan nasihat kepada waris yang terkesan untuk terus berdoa dan menguatkan hati serta reda dengan ketentuan Allah.
“Saya amat memahami betapa beratnya hari-hari yang mereka lalui sekarang. Tiada kata-kata yang cukup selesa untuk memadamkan rindu dan rasa sedih ini.
“Semoga kita semua dikurniakan kesabaran yang luar biasa oleh Allah untuk terus tabah mengharungi ujian ini. Insya-Allah kita mampu harungi ujian ini bersama,” katanya.
The post ‘Betapa beratnya hari-hari yang mereka lalui sekarang’ appeared first on Kosmo Online.






