Suami, isteri tekong darat dicekup sorok lapan PATI dalam rumah

1 Aug 2026 • 11:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suami, isteri tekong darat dicekup sorok lapan PATI dalam rumah

PASIR PUTEH – Taktik pasangan suami isteri yang menjadikan rumah mereka sebagai lokasi transit untuk menyembunyikan seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tiga wanita terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kediaman itu Kampung Gong Serapat di sini semalam.

Pasangan yang berusia 41 dan 35 tahun bersama PATI berumur dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.20 malam ketika anggota PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan itu, anggota PGA pada awalnya menjumpai tiga wanita warga Indonesia yang bersembunyi di ruang tamu rumah tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan lapan lelaki yang berada di dalam stor di belakang kediaman itu.

“Kesemua PATI yang ditahan gagal mengemukakan sebarang butiran pengenalan diri yang sah. Siasatan lanjut mendapati, kelapan-lapan warga asing yang dicekup bersembunyi di rumah milik pasangan suami isteri itu.

“Kesemua PATI dipercayai masuk ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Kelantan kelmarin sebelum mereka dibawa oleh pasangan suami isteri itu ke rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, kemasukan mereka ke negara ini diuruskan oleh ejen di Indonesia dengan bayaran sebanyak RM4,000 seorang.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, seorang lelaki dipercayai akan menguruskan kesemua PATI untuk membawa mereka bekerja sebagai buruh binaan dan tukang cuci di Kuala Lumpur.

“Selain itu, 10 buah telefon bimbit, satu rantai, satu mangga dan satu kunci dengan nilai keseluruhan RM22,000 turut dirampas,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

 

The post Suami, isteri tekong darat dicekup sorok lapan PATI dalam rumah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved