Ragut rantai nenek RM10,000, jual RM200

7 Sep 2026 • 12:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ragut rantai nenek RM10,000, jual RM200

ARAU – Dua lelaki ditahan selepas dipercayai meragut dua utas rantai leher emas milik wanita warga emas yang tinggal bersendirian di Bumbung Lima, di sini kelmarin.

Suspek yang berusia 25 dan 26 tahun itu diberkas di sebuah bilik sewa di Jalan Padang Nyu, Kampung Guar Gajah, di sini kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 83 tahun berada di rumah dan sedang menunggu penghantaran makanan.

“Mangsa terdengar bunyi enjin motosikal lalu membuka pintu kerana menyangka individu tersebut adalah penghantar makanan.

“Bagaimanapun, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di hadapan pintu secara tiba-tiba merentap dua utas rantai leher emas yang dipakai mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang terjatuh dalam keadaan terlentang tidak menjerit kerana ketakutan dan mengambil masa untuk bangun kerana faktor usia selain sakit lutut.

“Mangsa kemudian menghubungi anaknya sebelum laporan polis dibuat. Dua utas rantai dianggarkan bernilai RM10,000 itu dibeli 15 tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, wanita itu mempunyai masalah nyanyuk dan penglihatan kurang jelas menyebabkan dia tidak dapat mengecam wajah suspek.

Susulan laporan itu, polis menahan kedua-dua suspek dan merampas motosikal jenis SYM Sport Bonus SR serta telefon bimbit Honor 200 Smart.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama berusia 26 tahun yang juga penganggur mengaku pergi ke rumah mangsa bersama seorang lagi suspek dengan menaiki motosikal suspek kedua sebelum dia turun dan merentap rantai leher mangsa.

“Suspek pertama turut mendakwa kedua-dua rantai itu dijual kepada suspek kedua yang bekerja sebagai pembantu kedai pada harga RM200,” ujarnya.

Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

The post Ragut rantai nenek RM10,000, jual RM200 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved