
RAWANG – Enam beranak cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Camry di Kilometer 440.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Ulu Bernam ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.58 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang merupakan pemandu Toyota Camry mengalami kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Asrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.58 pagi.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 2.58 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Camry dan Mazda CX-5,” katanya dalam kenyataan hari ii.
Menurut beliau, enam mangsa yang menaiki Mazda CX-5 terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 34 tahun, selain tiga kanak-kanak iaitu seorang perempuan berusia lapan tahun, seorang lelaki berusia tiga tahun dan seorang bayi perempuan berusia dua bulan.
“Lelaki dan wanita dewasa berkenaan mengalami kecederaan parah, manakala ketiga-tiga kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 4.20 pagi,” katanya.
Asrul Riezal berkata, Toyota Camry berkenaan dipercayai dinaiki tiga individu, namun dua daripadanya dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian.
Tambah beliau, operasi menyelamat melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dan sebuah Emergency Medical Rescue Services.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, merayu orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kemalangan membabitkan keluarganya di Kilometer 440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang, awal pagi semalam, tampil membantu siasatan.
Dia dan suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf Tengku Sallehuddin, 34, merupakan bekas wartawan Kosmo!.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 hingga 4.30 pagi itu, keluarga berkenaan yang dalam perjalanan dari Perlis menuju ke rumah mereka di Cheras terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan dinaiki dilanggar dari belakang.
Nurul Faiqah berkata, suaminya sedang memandu kenderaan berkenaan ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post 6 beranak cedera: Dua penumpang Camry dipercayai larikan diri appeared first on Kosmo Digital.






