
PETALING JAYA: Dua daripada tiga individu yang dipercayai berada dalam sebuah Toyota Camry yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 440.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Ulu Bernam ke Kuala Lumpur, awal pagi tadi, dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.58 pagi itu, Toyota Camry berkenaan bertembung dengan sebuah Mazda CX-5 yang membawa sebuah keluarga lima beranak.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.58 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Toyota Camry dan Mazda CX-5.
“Seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemandu Toyota Camry mengalami kecederaan parah dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan.
“Laporan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dan terdapat seorang lelaki yang merupakan pemandu kereta Toyota Camry mengalami kecederaan parah.
“Jumlah sebenar individu dalam Toyota Camry adalah tiga orang, namun dua lagi mangsa dipercayai telah melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Mazda CX-5 pula membawa sebuah keluarga terdiri daripada seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 34 tahun, serta tiga kanak-kanak.
“Lelaki dan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan bayi perempuan berusia dua bulan mengalami cedera ringan.
“Operasi menyelamat tamat pada pukul 4.20 pagi selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pegawai perubatan,” katanya
Terdahulu, seorang wanita merayu orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau saksi kemalangan membabitkan keluarganya di Kilometer 440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang, awal pagi semalam, tampil membantu siasatan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila lima beranak itu dalam perjalanan dari Perlis menuju ke rumah mereka di Cheras sebelum kenderaan dinaiki dilanggar dari belakang.
Isteri mangsa, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, berkata, ketika kejadian, suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf Tengku Sallehuddin, 34, yang juga bekas wartawan Kosmo! sedang memandu kenderaan berkenaan.
“Ketika itu kami berada di lorong tengah seperti biasa sebelum ada kenderaan melanggar kami dari belakang.
“Suami saya patah tulang leher, manakala anak kedua pula patah tangan dan kaki serta perlu menjalani pembedahan,” katanya. – UTUSAN
The post Dua penumpang Camry dipercayai larikan diri selepas kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.






