
KULIM – Pertengkaran dipercayai berpunca daripada rasa cemburu membawa kepada tragedi apabila seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat di rumah mereka di Taman Tiram, di sini malam tadi
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 39 tahun mengalami tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun itu kemudian hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira pukul 8.40 malam tadi dan memaklumkan kepada anggota bertugas bahawa dia telah menikam isterinya.
“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 9 malam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim di Balai Polis Lunas,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di rumah teres setingkat di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama yang turut didiami suspek, mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil,” katanya.
Syamsul berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara pasangan itu berkaitan isu cemburu dan masalah rumah tangga.
“Suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
“Selepas kejadian, suspek mandi sebelum mengambil anaknya daripada pengasuh dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru,” katanya.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE
The post Suami tikam isteri 13 kali hingga maut appeared first on Kosmo Online.



.jpg)

