Subsidi bahan api perlu dikaji semula beri lebih ruang peruntukan pembangunan – Institut Penyelidikan Khazanah

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subsidi bahan api perlu dikaji semula beri lebih ruang peruntukan pembangunan – Institut Penyelidikan Khazanah Image from: Subsidi bahan api perlu dikaji semula beri lebih ruang peruntukan pembangunan – Institut Penyelidikan Khazanah amree11/11/2026 - 14:10 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Subsidi harga bahan api secara menyeluruh mungkin perlu dikaji semula bagi memberi lebih ruang kepada perbelanjaan pembangunan, khususnya untuk memperkukuh kesejahteraan isi rumah, menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

 

Pengerusinya, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, pelaburan berterusan dalam perkhidmatan awam dan pelaksanaan bantuan bersasar penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, selain memastikan pertumbuhan ekonomi negara memberi manfaat lebih meluas.

 

Justeru beliau berpandangan, kerajaan perlu mengimbangi usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi, dengan memastikan pengagihan manfaat yang lebih saksama serta mengurus sumber fiskal negara, terutama dalam keadaan ketegangan geopolitik semasa.

 

 

 

 

 

 

"Cabaran negara bukan sekadar mengekalkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya membina daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan berkenaan sambil memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat," jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

 

Nungsari seterusnya menambah, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah pengoptimuman komposisi perbelanjaan bagi menyediakan ruang yang lebih besar untuk aspek perbelanjaan pembangunan tanpa perlu mengabaikan disiplin fiskal.

 

Katanya, kekangan fiskal termasuk had terhadap hutang dan defisit di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) memerlukan kerajaan menilai semula keutamaan perbelanjaan, termasuk mengalihkan peruntukan subsidi bahan api secara menyeluruh kepada pembangunan.

 

Nungsari Ahmad Radhi_DagangNews2026

 

Pandangan beliau itu disampaikan bersempena dengan penerbitan edisi keenam laporan utama KRI, 'State of Households 2026' atau SOH 2026, yang bertemakan 'From Income to Wellbeing'.

 

Laporan institut berkenaan turut meneliti keadaan pendapatan, corak perbelanjaan dan akses isi rumah kepada perkhidmatan awam di seluruh daerah pentadbiran di Malaysia.

 

 

 

 

 

 

SOH 2026 juga jelasnya, disediakan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menggunakan data dibekalkan daripada Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES).

 

"Kajian berkenaan turut memberi tumpuan kepada hubungan antara pendapatan isi rumah dengan tahap kesejahteraan, termasuk kepentingan akses kepada perkhidmatan awam dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat negara ini," kata KRI.

 

Ia berpandangan, dasar ekonomi perlu mengambil kira bukan sahaja pertumbuhan dan pendapatan, malah keupayaan isi rumah menghadapi tekanan ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan diagihkan secara lebih saksama. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved