KKM beri amaran ubat kurus dibeli dalam talian berisiko, 101 aduan dan 47 serbuan dicatatkan Jan-Sept 2026

LocalHealth & Fitness
11 Nov 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KKM beri amaran ubat kurus dibeli dalam talian berisiko, 101 aduan dan 47 serbuan dicatatkan Jan-Sept 2026 Image from: KKM beri amaran ubat kurus dibeli dalam talian berisiko, 101 aduan dan 47 serbuan dicatatkan Jan-Sept 2026 amree11/11/2026 - 17:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Sebanyak 101 aduan dan 47 serbuan berkaitan produk penurunan berat badan direkodkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh Januari hingga September 2026, dengan nilai rampasan mencecah RM771,517.

 

Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 30 kes melibatkan penjualan dalam talian, sekali gus menunjukkan risiko pengguna mendapatkan ubat-ubatan daripada sumber tidak diketahui menerusi platform digital.

 

Perkembangan itu mendorong Novo Nordisk Malaysia menganjurkan forum 'Unknown Sources: Know the Source Before You Trust the Promise' bagi memperkukuh kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mendapatkan ubat melalui saluran yang sah, selamat dan terkawal.

 

Forum berkenaan turut menyokong kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) anjuran KKM dengan menghimpunkan wakil Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia serta pihak berkepentingan lain.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr Azuana Ramli berkata, keselamatan pesakit perlu bermula sebelum sesuatu ubat digunakan, termasuk dengan menyemak status pendaftaran, mendapatkan ubat daripada sumber sah dan merujuk kepada profesional kesihatan.

 

"Pengguna juga digalakkan melaporkan produk atau aktiviti mencurigakan, manakala label keselamatan hologram pada produk farmaseutikal berdaftar boleh disemak menerusi aplikasi telefon pintar MyUBAT," kata beliau menerusi kenyataan.

 

forum ubat_DagangNews2026

 

Dalam perkembangan berkaitan, Operasi Pangea XVIII pada 2026 menyaksikan sebanyak 130,678 unit produk farmaseutikal tidak sah bernilai RM3.15 juta dirampas, selain 2,294 pautan dalam talian berkaitan penjualan produk berkenaan disekat dan diturunkan.

 

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut memeriksa 497 bungkusan pos dalam operasi itu, dengan 49 bungkusan didapati mengandungi produk farmaseutikal tidak sah bernilai RM766,721.

 

Pengarah Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah berkata, orang ramai memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa mengesan produk dan aktiviti mencurigakan, selain usaha pemantauan, sekatan iklan, rampasan, siasatan serta pendakwaan terhadap penjual yang melanggar undang-undang.

 

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Sivanaesan Letchumanan pula mengingatkan bahawa kesahihan sesuatu ubat bukan satu-satunya perkara yang perlu dinilai kerana kesesuaian rawatan, keadaan kesihatan individu dan pemantauan doktor turut menentukan keselamatan penggunaannya.

 

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Profesor Kehormat Amrahi Buang berkata, farmasi berlesen berperanan sebagai pusat semakan keselamatan yang membantu pengguna memahami status pendaftaran, keperluan preskripsi, kaedah penggunaan dan penyimpanan ubat yang betul.

 

Pengarah Akses Pasaran dan Hal Ehwal Awam Novo Malaysia, Tee Loong Tek berkata, sokongan syarikat terhadap kempen TOBaTS bertujuan memperluas kesedaran mengenai akses ubat secara bertanggungjawab, dengan pengguna disaran mendapatkan nasihat profesional kesihatan, menyemak ubat serta hologram FarmaTag melalui aplikasi MyUBAT dan melaporkan tawaran atau penjual yang mencurigakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved