
PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menetapkan disiplin dan kemahuan yang tinggi sebagai syarat untuk seseorang artis baharu itu bernaung di Bawah SN Legacy.
Menurut Siti, oleh itu beliau perlu menapis bakat-bakat baharu untuk memilih yang benar-benar layak diketengahkan.
“Saya memang mencari (bakat baharu) untuk diuruskan di bawah SN Legacy.
“Kita mencari bakat untuk diasah, tidaklah sekadar ambil penyanyi atau pelakon sahaja.
“Yang penting penyanyi itu kena ada disiplin,” katanya.
Siti memaklumkan sebagai artis berpengalaman, beliau ingin melihat bakat baharu menyinar dalam industri seni berserta kemahuan yang tinggi.
“Anak-anak muda, ada segelintir yang mudah patah semangat.
“Antara mereka yang sukar dididik, tak boleh nak disuruh buat itu dan ini.
“Saya mahu mereka menjadi artis yang sabar dan tabah. Jadi biarlah minat itu datang dari diri mereka sendiri,” ujarnya.
Mengulas mengenai Auddra, siti melihat penyanyi dan pelakon itu memiliki kemahuan dan minat yang tinggi.
Justeru, beliau berpandangan Auddra layak diketengahkan sebagai pelapis dalam industri hiburan tanah air.
“Auddra memang minat dengan apa yang dia lakukan sekarang. Sebab itu dia mampu membuat semua kerja berkaitan seni.
“Tambah lagi dia sudah melihat bagaimana ibu dan ayahnya, Sharifah Shahirah dan Ijoy serta neneknya, Maria Arshad bekerja dalam bidang ini.
“Keadaannya berbeza dengan orang yang sekadar masuk (industri seni) untuk suka-suka.
“Tapi Insya-Allah, saya akan cari bakat yang lain untuk diserapkan dibawah SN Production,” kongsinya.- UTUSAN
The post Mencari bakat baharu yang miliki ketabahan, kesabaran – Siti Nurhaliza appeared first on Utusan Malaysia.






