MESYUARAT Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini berlangsung dalam suasana yang kritikal terhadap masa depan gabungan pembangkang terbesar negara.
Ketika landskap politik nasional semakin berubah dan memasuki fasa penyusunan semula baharu menjelang PRU16, PN kini bukan sahaja berdepan tekanan daripada kerajaan, malah sedang diuji oleh krisis dalaman yang semakin ketara.
Apa yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai isu disiplin organisasi atau perebutan pengaruh dalaman.
Gelombang pemecatan dan penggantungan melibatkan ramai pimpinan kanan parti sejak beberapa bulan kebelakangan ini sebenarnya memberi kesan langsung terhadap kestabilan serta kekuatan politik PN secara keseluruhan.
BERSATU selama ini merupakan tonggak utama PN dari sudut struktur kepimpinan, penguasaan kerusi Parlimen dan jaringan akar umbi.
Namun apabila parti tersebut mula kehilangan ramai pemimpin kanan, ahli Parlimen, ADUN serta ketua bahagian dalam tempoh singkat, implikasinya bukan hanya dirasai oleh BERSATU tetapi turut melemahkan keseluruhan kapasiti PN sebagai blok pembangkang.
Pada 13 Februari lalu, seramai 17 pemimpin BERSATU dipecat termasuk bekas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Ahli Parlimen Larut.
Turut menerima nasib sama ialah beberapa wakil rakyat dan pemimpin akar umbi penting parti. Krisis itu kemudian berlanjutan pada Mei dengan beberapa lagi ADUN dan ahli Parlimen dipecat atau digantung keahlian.
Dari sudut politik, setiap pemimpin yang disingkirkan membawa bersama rangkaian penyokong, jentera kawasan serta pengaruh tersendiri.
Dalam sistem politik Malaysia yang masih kuat bergantung kepada struktur parti dan hubungan akar umbi, kehilangan seorang ketua bahagian atau wakil rakyat bukan sekadar kehilangan individu, tetapi turut melibatkan hakisan kekuatan organisasi di peringkat kawasan.
Lebih membimbangkan, pergolakan ini berlaku ketika PN sedang cuba menampilkan dirinya sebagai alternatif kerajaan yang lebih stabil dan diyakini rakyat.
Dalam keadaan lawan politik sedang memperkukuh kerjasama dalaman dan memperkemaskan naratif pemerintahan, PN pula terpaksa mengurus konflik dalaman yang semakin terbuka.
Kesan paling besar daripada krisis ini ialah terhadap persepsi awam. Dalam politik moden, persepsi kestabilan memainkan peranan yang sangat penting.
Sesebuah gabungan yang dilihat gagal mengurus konflik dalaman akan sukar meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu mentadbir negara dengan lebih baik.
Atas sebab itu, perkembangan mengenai kemungkinan Hamzah Zainudin melancarkan platform politik baharu perlu dilihat daripada sudut yang lebih strategik dan bukan emosional.
Jika benar langkah tersebut menjadi kenyataan, ia menandakan bahawa perpecahan dalam BERSATU sudah memasuki fasa pembentukan blok politik baharu, bukan lagi sekadar perselisihan dalaman parti.
Namun dalam konteks politik pembangkang, pendekatan paling pragmatik bukanlah memutuskan hubungan sepenuhnya, sebaliknya mencari titik temu yang boleh memperkukuhkan keseluruhan blok pembangkang.
Sejarah politik Malaysia berulang kali menunjukkan bahawa pembangkang hanya mampu menjadi kompetitif apabila berjaya membentuk kerjasama yang luas dan inklusif.
Hakikat ini pernah dibuktikan menerusi kejayaan gabungan pembangkang dalam beberapa pilihan raya sebelum ini. Sebaliknya, setiap kali berlaku perpecahan atau pertandingan sesama sendiri, pihak yang paling mendapat keuntungan ialah kerajaan yang memerintah.
Dalam konteks tersebut, PN perlu mula memikirkan model gabungan yang lebih fleksibel dan terbuka. Jika sebelum ini PN mampu menerima parti seperti GERAKAN dan MIPP sebagai komponen gabungan, maka tidak mustahil platform politik baharu yang lahir daripada serpihan BERSATU juga boleh dirangkul semula atas dasar kepentingan strategik yang lebih besar.
Politik sentiasa bersifat dinamik. Musuh politik semalam boleh menjadi sekutu hari ini sekiranya terdapat persamaan kepentingan dan matlamat bersama.
Dalam keadaan pembangkang sedang berdepan cabaran untuk menyaingi kekuatan kerajaan perpaduan, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha menyatukan kekuatan, bukannya memperluas perpecahan.
Sebab itu usaha menyusun semula imej dan struktur PN sejak kebelakangan ini menjadi semakin penting. Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN dilihat sebagai cubaan membawa pendekatan yang lebih sederhana, stabil dan mesra pengundi tengah.
Pada masa sama, peranan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga semakin menonjol apabila beliau mula membawa pendekatan komunikasi politik yang lebih tersusun dan substantif.
Kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu cuba meletakkan PN sebagai pembangkang yang bukan sekadar menyerang kerajaan, tetapi turut menawarkan naratif dasar berkaitan ekonomi, kos sara hidup, perdagangan antarabangsa, keselamatan makanan dan tadbir urus.
Pendekatan ini penting kerana landskap politik pengundi hari ini semakin berubah. Pengundi, khususnya kelompok atas pagar dan generasi muda, tidak lagi hanya mahu mendengar retorik politik atau polemik dalaman.
Mereka mahu melihat kestabilan, kejelasan dasar dan kemampuan sesebuah gabungan menawarkan penyelesaian terhadap isu rakyat.
Dalam hal ini, kenyataan Takiyuddin yang mengingatkan pimpinan PN agar tidak saling menyerang secara terbuka sebenarnya membawa mesej yang lebih besar.
Ia menunjukkan kesedaran bahawa budaya konflik terbuka sesama sendiri hanya akan mempercepatkan hakisan keyakinan rakyat terhadap pembangkang.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini juga menjadi semakin signifikan kerana ia berlangsung ketika blok politik lain sedang memperkukuhkan kedudukan masing-masing.
Pakatan Harapan (PH), misalnya, sedang memperkemaskan kerjasama dalaman menjelang PRN dan PRU16, manakala beberapa tokoh politik utama negara pula dilihat mula menyusun langkah baharu masing-masing.
Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa politik Malaysia kini sedang memasuki fasa penjajaran semula yang lebih besar.
Dalam situasi seperti ini, kemampuan sesebuah gabungan mengurus krisis dalaman akan menentukan sama ada mereka mampu terus kekal relevan atau sebaliknya.
Jika PN gagal mengawal perpecahan dalam BERSATU dan terus kehilangan tokoh penting serta jentera akar umbi, gabungan itu berisiko menjadi semakin kecil dan defensif.
Namun jika krisis ini dijadikan titik tolak untuk membina gabungan pembangkang yang lebih luas, lebih inklusif dan lebih matang, PN masih mempunyai ruang untuk kembali muncul sebagai pencabar utama kerajaan.
Akhirnya, masa depan PN bergantung kepada satu persoalan paling asas sama ada gabungan itu mahu terus bergerak sebagai blok politik yang eksklusif dan terikat dengan konflik dalaman, atau memilih untuk berkembang menjadi payung besar pembangkang yang mampu menyatukan pelbagai kekuatan politik demi menghadapi cabaran PRU16.
*Dr. Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

![[INFOGRAFIK] Pengerusi PN di setiap negeri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/05/16/3522967.webp)




