Sudah tiba masa judo diberi perhatian

10 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sudah tiba masa judo diberi perhatian

KEJAYAAN Amir Daniel Abdul Majeed meraih pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026 bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya perlu menjadi titik perubahan kepada landskap judo negara yang selama ini kurang mendapat perhatian.

Amir membuktikan Malaysia memiliki bakat dalam judo apabila meraih emas di Sukan SEA Thailand 2025 sebelum menambah emas di Glasgow 2026 selepas menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen dalam kategori bawah 81 kilogram.

Kejayaan itu turut melakar sejarah apabila Amir menjadi atlet negara pertama meraih emas dalam judo, sekali gus membuktikan sukan berkenaan bukan hanya milik kuasa besar dunia.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Amir menceburi judo sejak berusia lima tahun dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam sukan berkenaan.

Namun, Amir tidak mahu berhenti di situ apabila sudah memasang impian untuk beraksi dan memenangi pingat pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Dalam gambaran yang lebih besar, sasaran utama saya adalah Sukan Olimpik di Los Angeles. Saya berharap bukan sekadar menyertainya, tetapi turut memenangi pingat,” katanya.

Impian itu memerlukan pengorbanan besar kerana Amir perlu mengumpul mata menerusi kejohanan Jelajah Dunia untuk meningkatkan kedudukan ranking dan memburu kelayakan Olimpik secara merit.

Amir ketika ini berada sekitar tangga ke-117 dunia dan mengakui pendedahan antarabangsa amat penting untuk meningkatkan pengalaman serta kemampuannya.

“Saya memerlukan lebih banyak pendedahan antarabangsa. Menyertai kem latihan atau pertandingan di luar negara akan meluaskan pengalaman saya dan banyak membantu dalam usaha mencapai impian Olimpik,” katanya.

Justeru, Amir perlu menyertai lebih banyak pertandingan antarabangsa kerana jumlah kejohanan judo di Malaysia ketika ini hanya sekitar tiga hingga empat kejohanan setahun.

Pada masa sama, aspek pembiayaan perlu diberi perhatian kerana kos perjalanan, penginapan dan penyertaan di luar negara akan meningkat dalam usahanya memburu tiket ke Los Angeles.

Jurulatihnya, Nashriq Nassir melihat kejayaan Amir sebagai bukti bahawa Malaysia memiliki atlet judo bertaraf dunia dan ia sepatutnya menjadi penanda aras baharu.

“Saya berharap rakyat Malaysia membuka mata bahawa kita mempunyai sukan judo bertaraf dunia. Ini menjadi penanda aras baharu untuk kita capai,” katanya.

Nashriq turut mendedahkan terdapat dua atau tiga atlet muda berusia 15 hingga 16 tahun yang sedang dibangunkan, sekali gus menunjukkan judo negara mempunyai prospek untuk terus berkembang.

Penulis percaya kejayaan Amir tidak seharusnya berakhir dengan sambutan pingat semata-mata. Sudah tiba masanya program akar umbi, pendedahan antarabangsa, kem latihan dan sokongan kewangan diperkasakan supaya kejayaan Amir menjadi pencetus kepada lahirnya lebih ramai jaguh judo negara.

The post Sudah tiba masa judo diberi perhatian appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved