
SHAH ALAM – Kekeliruan terhadap sudut rakaman video dipercayai mencetuskan dakwaan kononnya kenderaan pencuri kabel di Kampung Tasek Tambahan, Ampang diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) ketika melakukan kegiatan tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan pihaknya mendapati tiada kontroversi berhubung kejadian itu sebaliknya anggota MPV berkenaan sedang menjalankan tugas selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencuri kabel.
Malah katanya, polis juga berjaya menahan seorang suspek yang akhirnya telah didakwa dan didenda mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Cuma yang saya melihat dan mempersoalkan apabila melibatkan sudut-sudut rakaman tersebut seolah-olah menimbulkan kontroversi. Jelas tiada kontroversi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang telah dituduh itu mempunyai rekod lampau dan aktif sejak awal tahun ini.
Tambahnya, polis kini sedang mengesan suspek-suspek lain termasuk sama ada mereka merupakan antara kumpulan diburu sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Shazeli turut tidak menolak kemungkinan polis akan mengambil keterangan daripada pemilik rumah berkaitan kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya menghargai perkongsian rakaman atau maklumat daripada orang awam kerana ia boleh membantu siasatan.
“Perkongsian maklumat seumpama rakaman tersebut amat dihargai. Cuma kita hendak membuktikan kesahihan rakaman itu dan memastikan ia tidak dimanipulasi. Kita tidak menghalang penyebaran rakaman tersebut kerana ia sebahagian daripada perkongsian maklumat. Cuma nasihat saya, jangan cepat membuat kesimpulan,” katanya.
Tegasnya, kesahihan sesuatu rakaman perlu disahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kesimpulan awal yang boleh menimbulkan fitnah terhadap mana-mana pihak.
Media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin menafikan dakwaan tular kononnya sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Sudut rakaman cetus dakwaan MPV iring pencuri kabel appeared first on Kosmo Online.






