Sukan Asia 2026: Azizulhasni, Shah Firdaus ke separuh akhir keirin

2 Oct 2026 • 10:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sukan Asia 2026: Azizulhasni, Shah Firdaus ke separuh akhir keirin
Azizulhasni - Foto: Bernama

SHIZUOKA - Jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom meneruskan cabaran negara dalam acara keirin lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menempah tempat ke separuh akhir di Velodrom Izu, di sini, hari ini.

Kedua-dua pelumba negara itu memperoleh tiket automatik selepas menduduki tempat kedua dalam saringan masing-masing.

Mohd Azizulhasni menamatkan saringan di belakang Xie Han dari China, manakala Shah Firdaus menjadi pelumba kedua terpantas dalam saringannya yang dimenangi To Cheuk Hei dari Hong Kong.

Minato Nakaishi dari Jepun dan Kirill Kurdidi dari Kazakhstan turut layak secara automatik selepas menduduki kelompok dua teratas dalam saringan masing-masing.

Pelumba yang gagal melayakkan diri secara automatik masih berpeluang meneruskan cabaran menerusi saringan repechage pertama yang dijadualkan berlangsung kemudian.

Aksi separuh akhir dan final keirin lelaki dijadualkan berlangsung petang ini.

Sementara itu, Nur Alyssa Mohd Farid turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pecut individu wanita selepas menewaskan pelumba tuan rumah Aki Sakai 2-0 pada suku akhir.

Bagaimanapun, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang sebelum ini meraih gangsa keirin, gagal mengikut jejak Alyssa selepas tewas 0-2 kepada Jiang Yulu dari China.

Alyssa akan berdepan Yuan Liying dari China, pemenang emas keirin, dalam separuh akhir, manakala Jiang Yulu dijadualkan menentang Mina Sato dari Jepun dalam satu lagi aksi.

Izzah Izzati pula akan beraksi dalam perlumbaan penentuan tempat kelima hingga kelapan.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved