
NAGOYA – Bintang pecut Thailand, Puripol Boonson mencipta sensasi apabila memecahkan rekod Sukan Asia sebanyak dua kali dalam tempoh kurang tiga jam sebelum merangkul emas acara 100 meter (m) lelaki di Stadium Olahraga Nagoya City Mizuho Park, kelmarin.
Pelari berusia 20 tahun itu terlebih dahulu mencatat 9.91 saat (s) pada separuh akhir untuk memadam rekod temasya milik jaguh China, Su Bingtian yang dilakukan pada Sukan Asia Jakarta 2018 sebelum kembali memperbaharuinya dengan 9.90s pada final.
Meskipun agak lewat keluar dari blok permulaan berbanding beberapa pencabar, Boonson kekal tenang sebelum meningkatkan kelajuan pada pertengahan perlumbaan dan meluru ke garisan penamat dengan catatan kedua terpantas pernah dilakukan pelari Asia.
“Saya sangat teruja dengan pertandingan ini dan sekarang saya sangat gembira. Saya beritahu diri sendiri, ‘Bersabar dan teruskan.’ Impian saya adalah untuk melakukannya dan saya berjaya,” katanya.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Boonson yang sekadar meraih pingat perak pada Sukan Asia Hangzhou 2023, selain mengukuhkan statusnya sebagai antara pelari pecut terbaik benua ketika ini.
Malah, Boonson yang membuat penampilan sulung Olimpik di Paris 2024 kini memasang sasaran lebih besar apabila mahu memburu rekod Asia 9.83s milik Su Bingtian, selain mengintai podium pada Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.
“Sekarang saya mahu memenangi pingat pada Kejohanan Dunia dan Olimpik. Sasaran saya selepas ini adalah rekod Asia,” katanya.
Dua pelari Oman melengkapkan podium apabila Ali Al Balushi meraih perak dengan 10.04s, manakala Malham Al Balushi membawa pulang gangsa menerusi catatan 10.11s.
Dalam acara 100m wanita, Chen Yujie dari China turut mencipta rekod temasya 11.06s untuk meraih emas di depan Shanti Pereira dari Singapura (11.21s) dan Edidiong Odiong dari Bahrain (11.33s). – AGENSI
The post Sukan Asia: Boonson buru rekod Su Bingtian appeared first on Kosmo Online.






