Sukan Asia: Eain Yow akhirnya kongsi kesukaran ditanggung

28 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Eain Yow akhirnya kongsi kesukaran ditanggung

KEJAYAAN mempertahankan pingat emas Sukan Asia membawa makna cukup mendalam buat jaguh skuasy negara, Ng Eain Yow apabila mendedikasikan kemenangan itu kepada ibunya yang berjuang dengan masalah kesihatan sejak lebih setahun lalu.

Pemain No. 18 dunia itu menampilkan aksi tenang untuk menewaskan wakil India, Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 dalam tempoh 51 minit pada final perseorangan lelaki, sekali gus menghadiahkan emas kelima buat kontinjen negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Di sebalik kejayaan tersebut, Eain Yow mendedahkan keadaan kesihatan ibunya yang selama ini jarang dikongsikan kepada umum.

“Saya selalu fikir kadang-kadang betapa sukarnya menjadi seorang atlet, tetapi perkara mengenai ibu saya ini tidak banyak saya kongsikan kerana ia hal peribadi. Sejak lebih setahun lalu, ibu saya sakit.

“Apabila saya fikir betapa sukarnya keadaan dan betapa kuatnya dia, tiada siapa lebih kuat daripada ibu saya. Dia berjuang setiap hari. Jadi, persembahan hari ini adalah untuk ibu dan keluarga saya, atas segala yang mereka lalui.

“Kadang-kadang saya rasa bersalah kerana tidak berada di rumah untuk menjaga ibu, tetapi saya tahu inilah yang mereka mahukan untuk saya. Hari ini adalah untuk keluarga, negara, rakan-rakan dan barisan sokongan yang sentiasa berada bersama saya,” katanya dalam temu bual bersama sebuah stesen tv tempatan.

Emas itu juga menjadi penebus tempoh sukar buat Eain Yow, 28, yang mengakui prestasinya kurang memberangsangkan sejak setahun lalu, sekali gus membuatkan kejayaan mempamerkan aksi terbaik sepanjang minggu di Aichi-Nagoya begitu bermakna.

Kemenangan itu menyaksikan Eain Yow mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Asia Hangzhou, selain meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas melengkapkan kempen cemerlang di Aichi-Nagoya.

The post Sukan Asia: Eain Yow akhirnya kongsi kesukaran ditanggung appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved