
AICHI – Jaguh skuasy negara, Ng Eain Yow menghadiahkan pingat emas kelima buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan wakil India, Abhay Singh dalam final perseorangan lelaki, sebentar tadi.
Pemain No. 18 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan Abhay yang menghuni ranking ke-26 dunia dengan kemenangan straight set 11-9, 11-5, 11-5 dalam tempoh 51 minit.
Eain Yow, 28, berdepan tentangan sengit pada set pembukaan yang berlangsung selama 21 minit sebelum menang 11-9, namun tampil lebih dominan pada set kedua untuk mencatat kemenangan 11-5 dalam masa sembilan minit.
Momentum itu diteruskan pada set ketiga apabila Eain Yow sekali lagi menang 11-5, sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Kejayaan tersebut turut menghadiahkan Eain Yow tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, melengkapkan misinya di Aichi-Nagoya selepas mara ke final dengan menewaskan pemain Pakistan, Zaman Noor 11-7, 11-2, 11-4 pada separuh akhir semalam. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Eain Yow hadiah emas kelima appeared first on Kosmo Online.






