
PETALING JAYA – Skuad sepak takraw negara melangkah bergaya ke separuh akhir Sukan Asia 2026 selepas menjuarai Kumpulan B dengan kemenangan 2-0 ke atas Myanmar, di Paloma Mizuho Arena, Nagoya hari ini.
Gandingan Muhammad Afifuddin Mohd Razali selaku perejam, Aidil Aiman Azwawi (feeder) dan Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) tampil kemas untuk memastikan kempen peringkat kumpulan berakhir dengan rekod sempurna.
Malaysia tidak memberikan ruang kepada Myanmar apabila menguasai set pertama untuk menang mudah 15-5.
Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila trio negara terus mengawal permainan sebelum menutup saingan dengan kemenangan 15-4.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B tanpa kehilangan sebarang set, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk memburu pingat pada temasya kali ini.
Skuad negara dijadual bertemu Filipina yang berjaya menewaskan tuan rumah, Jepun 2-0 untuk aksi Kumpulan A, sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Golden Tigers sah separuh akhir appeared first on Kosmo Online.






