
NAGOYA – Kunlavut Vitidsarn meraikan hari penuh bermakna apabila bukan sahaja kembali bergelar pemain No. 1 dunia, malah mencipta sejarah sebagai pemain Thailand pertama memenangi emas perseorangan lelaki badminton Sukan Asia.
Pemain berusia 25 tahun itu melakar pencapaian bersejarah tersebut selepas menewaskan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 21-12, 21-16 dalam tempoh 48 minit pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Ichinomiya City, kelmarin.
Kejayaan itu hadir pada hari sama Kunlavut kembali menduduki ranking No. 1 dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 tersebut mengakui status berkenaan turut membawa tekanan besar.
“Ranking No. 1 dunia memberikan saya banyak tekanan, ia sekadar nombor. Sasaran saya adalah memenangi pingat dalam setiap kejohanan sama ada Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik.
“Semua itu lebih penting daripada ranking No. 1 dunia. Ranking memberikan tekanan kerana semua orang melihat anda sebagai pemain No. 1 dunia. Sebelum datang ke sini, prestasi saya tidak cukup baik untuk meraih pingat tetapi kali ini saya memenangi emas,” katanya.
Emas tersebut melengkapkan koleksi utama Kunlavut di pentas Asia selepas dia sebelum ini sudah bergelar juara dunia dan juara Asia Tenggara, selain pernah menduduki ranking teratas dunia buat kali pertama pada Jun 2025.
Lebih manis, kejayaan di Aichi-Nagoya turut menebus kekecewaan penampilan terdahulunya di Sukan Asia apabila kempen perseorangan berakhir lebih awal dan kegagalan itu menjadi antara pembakar semangatnya untuk tampil lebih baik kali ini.
“Saya perlu memberikan yang terbaik dalam kejohanan ini. Kali terakhir saya kalah pada pusingan 16 terbaik dan ia tidak cukup baik. Saya sangat sedih ketika itu, tetapi kali ini saya sangat gembira,” jelasnya. – AGENSI
The post Sukan Asia: Kunlavut cipta sejarah Thailand appeared first on Kosmo Online.






