
AICHI – Penantian 12 tahun Malaysia untuk kembali meraih pingat beregu wanita Sukan Asia akhirnya ditamatkan Pearly Tan-M. Thinaah selepas mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa pada temasya Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Beregu No. 5 dunia itu memastikan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly 21-18, 21-9 dalam tempoh 42 minit pada aksi suku akhir.
Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama menaiki podium Sukan Asia sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei membawa pulang gangsa pada edisi Incheon 2014.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah belum mahu berpuas hati dengan sekadar gangsa apabila kini mengintai tempat ke final, namun perlu melepasi ujian getir menentang beregu No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada separuh akhir, esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan negara bermula sebagai bukan pilihan apabila hanya memenangi tiga daripada 13 pertemuan menentang Sheng Shu-Tan Ning, termasuk tewas kepada gandingan China itu pada final Kejohanan Dunia tahun lalu.
Ketika Pearly-Thinaah memastikan pingat dalam beregu wanita, nasib berbeza menimpa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang terlepas peluang menaiki podium selepas terkandas pada suku akhir beregu lelaki.
Pasangan No. 6 dunia itu gagal menyaingi pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang sebelum akur tewas 13-21, 17-21 di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.
Kekalahan Sze Fei-Nur Izzuddin menyaksikan cabaran Malaysia dalam beregu lelaki berakhir selepas Aaron Chia-Tee Kai Wun turut tersingkir pada pusingan kedua sehari sebelumnya.
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian gangsa beregu lelaki edisi Hangzhou 2022 yang disumbangkan Aaron-Soh Wooi Yik, namun kem badminton negara masih mempunyai Pearly-Thinaah untuk meneruskan pemburuan ke final di Aichi-Nagoya. KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Pearly-Thinaah tamat penantian 12 tahun appeared first on Kosmo Online.






