
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat pertamanya pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memenangi pingat gangsa menerusi acara pecut individu lelaki.
Pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka semalam, atlet berusia 38 tahun itu menamatkan saingan di kedudukan ketiga terbaik selepas menewaskan Jai Angsuthasawit dari Thailand.
Selepas gagal meneruskan kemaraan ke pentas final, pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu tidak berdepan banyak masalah apabila memenangi perlumbaan tersebut menerusi kemenangan 2-0.
Pada perlumbaan pertama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu boleh dianggap mendapat mata ‘percuma’ apabila Angsuthasawit gagal menamatkan saingan apabila terjatuh ketika sedang melakukan pecutan.
Memasuki perlumbaan kedua, Azizulhasni yang sudah pun mengutip satu mata berjaya mengekalkan rentak konsisten meskipun diberikan tentangan sengit pelumba Thailand itu yang cuba mengheret aksi ke perlumbaan penentuan.
Menerusi kayuhan bertenaga yang dipamerkan pada pusingan terakhir perlumbaan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berjaya mengetepikan cabaran lawan, seterusnya menyumbang pingat gangsa buat Malaysia.
Pingat gangsa itu bakal menjadi penyuntik semangat buat Azizulhasni yang akan turun dalam aksi kegemarannya, keirin hari ini.
Sementara itu, pingat emas dalam acara tersebut menjadi milik pelumba tuan rumah, Kaiya Ota yang berjaya memastikan kemenangan bergaya ke atas Li Zhiwei dari China menerusi keputusan 2-0.
Pingat gangsa yang diraih Azizulhasni berjaya menambah koleksi pingat skuad berbasikal negara yang sudah pun memenangi pingat perak acara pecut berpasukan wanita serta gangsa keirin wanita kelmarin.
The post Sukan Asia: Pingat sulung bekal semangat Azizulhasni appeared first on Kosmo Online.






