
KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara hanya selangkah menamatkan penantian 36 tahun untuk menjelmakan pingat emas selepas bangkit menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun menempah tiket ke final sekali gus membuka peluang untuk Malaysia menamatkan kemarau panjang.
Pada perlawanan separuh akhir, Malaysia bermula cemas apabila trio regu pertama negara yang dibarisi Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman tewas 1-2 kepada regu Indonesia 15-10, 13-15, 13-15.
Bagaimanapun, regu emas negara, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias kembali menghidupkan peluang selepas mencipta kemenangan 2-0 ke atas Indonesia menerusi keputusan 15-10, 15-6 sekali gus mengikat kedudukan 1-1.
Aksi hidup mati negara kemudian ditentukan menerusi regu ketiga yang menampilkan Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan.
Malaysia bagaimanapun bermula kurang baik apabila tewas 11-15 pada set pertama ke atas trio muda Indonesia, Gelvin A Usman, Muhammad Ubaidur Rohman dan Rizki Yusuf Djaina dalam aksi penuh tekanan.
Tersentak dengan keputusan tersebut, trio negara kembali dengan semangat juang tinggi untuk memenangi set kedua 15-11 dan kebangkitan itu diteruskan apabila Malaysia akhirnya mengesahkan kemenangan 15-11 pada set ketiga.
Kejayaan 2-1 ke atas Indonesia itu membuka peluang kepada skuad negara untuk menamatkan penantian 36 tahun emas di Sukan Asia, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1990 di Beijing, China.
Malaysia kini menanti pemenang antara Thailand dan Jepun yang akan menjadi lawan di pentas final. -KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Malaysia ke final selepas bangkit atasi Indonesia appeared first on Kosmo Online.



