
LONDON – Jaguh berbasikal trek Britain, Matthew Richardson terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 akibat kecederaan, sekali gus memadam harapan peminat untuk menyaksikan pertembungan menarik menentang bekas rakan sepasukannya dari Australia.
Pelumba kelahiran England itu menyertai Britain selepas menukar kerakyatan sukan sejurus meraih dua pingat perak dan satu gangsa ketika mewakili Australia pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Pertembungan Richardson dengan pelumba Australia, Leigh Hoffman di Velodrom Chris Hoy di Glasgow sebelum ini dianggap antara aksi paling dinanti-nantikan pada temasya itu yang dilihat kurang dibarisi bintang ternama.
Bagaimanapun, Team England mengesahkan Richardson tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan ketika menyertai perlumbaan di Jepun.
“Malangnya, akibat kecederaan yang dialami dalam perlumbaan antarabangsa awal minggu ini, Matt Richardson tidak dapat mewakili Team England pada Sukan Komanwel Glasgow 2026,” menurut kenyataan pengurusan pasukan semalam.
Richardson dan Hoffman sebelum ini bergandingan dalam skuad pecut berpasukan Australia yang meraih pingat gangsa di Olimpik Paris 2024, sebelum kedua-duanya dijangka bertemu sebagai pencabar dalam acara pecut dan keirin di Glasgow.
“Rakyat Australia mahu saya menewaskannya, manakala penyokong Britain pula mahu dia menewaskan saya. Begitulah lumrah persaingan. Melihat dia memakai warna Great Britain memang membakar semangat saya,” jelas Hoffman.
Richardson berhijrah ke Perth ketika masih kecil dan berkembang sebagai pelumba menerusi Program Podium Potential Cycling Australia sebelum mengambil keputusan meninggalkan negara itu untuk kembali mewakili Britain.
Keputusannya menukar kerakyatan sukan dilaporkan tidak disenangi sebahagian bekas rakan sepasukannya di Australia. – AGENSI
The post Sukan Komanwel: Basikal trek hilang seorang pencabar emas appeared first on Kosmo Digital.






