Sukan Komanwel: Misi pertahan emas di Glasgow

24 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Komanwel: Misi pertahan emas di Glasgow

JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menggalas misi besar untuk mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel yang dimenanginya empat tahun lalu apabila turun beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) pada temasya edisi 2026 di Glasgow, Scotland.

Atlet berusia 24 tahun itu mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara menerusi kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan kini bertekad mengulangi kejayaan sama biarpun bakal bersaing dalam kategori baharu.

Aniq mengakui persiapannya menjelang temasya kali ini bukan sesuatu yang mudah selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang dua bulan terakhir, namun percaya segala pengorbanan yang dilakukan akan membuahkan hasil.

“Saya janji akan buat yang lebih baik. Saya cuba kekalkan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu supaya segala usaha saya berlatih selama ini tidak sia-sia.

“Saya akui sebulan atau dua bulan terakhir sebelum kejohanan banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Saya berjanji untuk memberikan aksi terbaik dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya,” katanya yang menjalani latihan di Turkiye selama tiga minggu.

Acara angkat berat Sukan Komanwel 2026 dijadual berlangsung di SEC Armadillo bermula Ahad ini hingga 30 Julai dengan Malaysia turut meletakkan harapan tinggi terhadap beberapa lagi atlet untuk memburu pingat emas.

Selain Aniq, dua lagi atlet negara yang turut diletakkan sebagai sandaran emas ialah Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 65kg dan Syahmi Nor (88kg).

Syahmi menegaskan dia mempunyai misi besar di Sukan Komanwel apabila bertekad membutirkan pingat emas buat kontinjen negara.

“Saya cuba memberikan aksi terbaik agar dapat membawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya.

Selain tiga prospek emas itu, cabaran negara turut digalas Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), Muhammad Farris Haikal (atas 110kg), Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana (atas 86kg).

The post Sukan Komanwel: Misi pertahan emas di Glasgow appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved