
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan insentif tambahan buat atlet negara yang berjaya meraih pingat pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka di pentas antarabangsa.
Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, berkata insentif itu merupakan tanda penghargaan atas pengorbanan, komitmen dan usaha atlet yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di Jepun.
Menerusi inisiatif berkenaan, setiap pemenang pingat emas bakal menerima insentif tunai RM2,000.
Sementara itu, pemenang pingat perak akan menerima baucar bernilai RM2,000, manakala pemenang pingat gangsa bakal memperoleh baucar bernilai RM1,000.
Insentif berkenaan diharap dapat menyuntik motivasi kepada atlet para negara untuk terus meningkatkan prestasi serta melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.




