
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) membuktikan status sebagai jaguh bola tampar wanita dalam temasya Sukan IPT (Sukipt) 2026 apabila mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) semalam, skuad kendalian Kamal Sufian Othman itu memastikan kejuaraan selepas menewaskan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) 26-24, 25-19.
Kamal Sufian berkata, anak-anak buahnya menampilkan aksi cukup baik pada perlawanan tersebut selain menganggap kedua-dua sudah tahu mengenai kekuatan serta kelemahan pasukan masing-masing.
“Untuk hari ini (semalam), semua pemain boleh bermain dengan baik dan memang kita sudah jangka akan berjumpa dengan TAR UMT. Kedua-dua pasukan memang saling kenal kerana selalu bertemu di kejohanan-kejohanan luar.
“Seperti edisi-edisi sebelum ini, memang kita merupakan juara bertahan dan kali ini merupakan gelaran keempat berturut-turut untuk kami. Bagi Sukipt yang seterusnya, memang kami mahu kekalkan gelaran itu,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, UPM tidak berdepan laluan mudah sepanjang aksi final tersebut apabila TAR UMT memberikan tentangan sengit sepanjang kedua-dua set permainan.
“Hari ini (semalam) memang kita sudah berikan yang terbaik dan sukar untuk mencatat kemenangan. Memang kita sudah menjangkakan final hari ini (semalam) sukar kerana kedua-dua pasukan ada pemain kebangsaan,” ujar Kamal Sofian.
Sementara itu, dalam kategori lelaki menyaksikan TAR UMT berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi dua tahun lalu selepas membenam cabaran UPM menerusi kemenangan 25-21, 21-25, 15-13.
The post Sukipt: UPM kekal gelaran bola tampar wanita kali keempat appeared first on Kosmo Digital.






