
KUALA LUMPUR: Skuad bola tampar wanita Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukuhkan dominasi apabila mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), hari ini.
Skuad kendalian Kamal Sufian Othman itu menewaskan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) 2-0 pada aksi final, manakala Taylor’s University melengkapkan podium selepas menundukkan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kemenangan straight set.

Mengulas mengenai aksi final itu, Kamal mengakui, kejayaan tersebut bukan mudah diraih memandangkan UPM berdepan lawan yang sudah cukup mengenali mereka sebelum ini.
“Semua pemain bermain dengan baik hari ini. Kami memang sudah menjangkakan akan berdepan TAR UMT kerana sebelum ini kami bertemu mereka di separuh akhir dan kali ini di final.
“Kedua-dua pasukan saling mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing kerana kami juga kerap bertemu dalam kejohanan luar. Jadi, semangat juang kedua-dua pasukan memang tinggi dan kemenangan ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sasaran mempertahankan kejuaraan sememangnya menjadi fokus UPM sejak awal kejohanan, malah pihaknya berharap dapat meneruskan dominasi itu pada edisi akan datang.
“Seperti edisi-edisi sebelum ini, kami memang turun sebagai juara bertahan. Kami berharap dapat meneruskan program ini dan mempertahankan kejuaraan pada SUKIPT akan datang.
“Dalam pasukan utama kami juga mempunyai enam pemain kebangsaan selain pemain SUKMA (Sukan Malaysia), jadi kedua-dua pasukan mempunyai pemain berpengalaman dan masing-masing menjalani program latihan yang sama,” katanya. – UTUSAN
The post UPM terus kebal appeared first on Utusan Malaysia.






