SUKMA 2026: Bola Sepak dan bola tampar pantai mula beraksi

FootballSports
11 Aug 2026 • 11:35 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Bola Sepak dan bola tampar pantai mula beraksi

SHAH ALAM, 11 OGOS: Debaran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mula dirasai apabila secara rasminya bermula hari ini menerusi saingan awal bagi bola tampar pantai, kriket, serta bola sepak lelaki dan wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, berkata perancangan penganjuran berjalan lancar dengan sebahagian besar persiapan.

Menurutnya, pegawai-pegawai teknikal telah mengesahkan pendaftaran atlet bagi ketiga-tiga acara berkenaan pada sesi taklimat yang berlangsung semalam.

Image from: SUKMA 2026: Bola Sepak dan bola tampar pantai mula beraksi
Temuramah bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi di Pejabat Majlis Sukan Negeri Selangor Shah Alam pada 3 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Hari ini (semalam) ada taklimat untuk ketiga-tiga sukan tersebut. Semua pegawai teknikal mengesahkan pendaftaran pemain bagi memastikan tiada sebarang masalah kepada kejohanan yang dilangsungkan. Setakat ini, pihak sekretariat telah menyelesaikan sebahagian besar persiapan," katanya kepada media Selangor semalam.

Katanya edisi kali ini menghimpunkan lebih 9,200 atlet daripada 14 kontinjen termasuk Brunei, dengan keseluruhan acara akan berlangsung di sekitar Selangor, kecuali acara berbasikal trek yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Image from: SUKMA 2026: Bola Sepak dan bola tampar pantai mula beraksi
Aksi sengit pemain bola tampar wanita Selangor, Rachael Goh Yu Jie memukul bola menentang pasukan Johor di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Acara hari ini akan bermula dengan bola tampar pantai yang dijadualkan berlangsung pada sebelah pagi di Gelanggang Bola Tampar Pantai, Seksyen 19, Shah Alam.

Dalam pada itu, saingan bola sepak lelaki turut membuka tirai di dua lokasi berasingan iaitu Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dan Stadium Bandar Baru Salak Tinggi.

Bagi kategori bola sepak wanita, pasukan tuan rumah Selangor bakal memulakan saingan Kumpulan A menentang Wilayah Persekutuan di Stadium Selayang.

Sementara itu, aksi Kumpulan B pula akan dilangsungkan pada sebelah petang dan malam di Stadium Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Sementara itu, acara kriket bagi format 50 over akan dilangsungkan secara serentak di tiga venue utama, iaitu Stadium STC, Stadium UKM dan di Bayu Emas, Klang.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizam berkata, ini merupakan kali kedua Selangor menjadi tuan rumah Sukma sejak kali pertama pada 1998.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terutama rakyat Selangor untuk mengambil peluang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

"Masuk adalah percuma, jadi, saya turut menjemput ibu bapa hadir membawa anak-anak untuk memenuhkan stadium," katanya lagi.

SUKMA 2026 akan berlangsung di Selangor bermula pada 15 hingga 24 Ogos.

Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 gelanggang pertandingan manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved