Sukma 2026: Cirit-birit tak halang Firdaus tuai emas

20 Aug 2026 • 6:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Cirit-birit tak halang Firdaus tuai emas

SERDANG – Berdepan cirit-birit akibat keracunan makanan selama dua hari tidak menghalang atlet Perlis, Muhammad Firdaus Abdul Rahman untuk mencipta kejutan apabila menjelmakan pingat emas acara lempar cakera lelaki pada penampilan sulung di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.

Firdaus yang mengakui baru pulih daripada masalah sakit perut pagi tadi tampil dengan aksi bertenaga untuk melakukan lontaran sejauh 44.32 meter (m), sekali gus merekodkan catatan peribadi terbaik (PB) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

Lebih manis, catatan itu bukan sahaja menghadiahkan emas buat Perlis, malah memperbaiki PB terdahulu 41.22m yang dilakarnya pada Terbuka Chantaburi, Thailand pada Jun lalu.

Pingat perak turut menjadi milik wakil Perlis, Muhammad Haziq Danial Mohd. Hafizullah dengan catatan 42.77m, manakala atlet Sabah, Syed Ali Syed Ahmad meraih gangsa menerusi lontaran 41.03m.

Firdaus berkata, dia pada awalnya tidak meletakkan sasaran untuk meraih pingat kerana menganggap penampilan pertama di Sukma sebagai peluang untuk mendapatkan pengalaman dan memperbaiki catatan peribadi.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya pergi ke Sukma. Saya sebenarnya tidak sasarkan pingat kerana baru berusia 17 tahun. Saya datang dengan niat untuk buat PB sahaja, setakat kemampuan saya. Alhamdulillah, rezeki saya hari ini dapat emas,” katanya selepas tamat perlawanan.

Lebih menarik, Firdaus hanya berasa lega daripada masalah cirit-birit dan keracunan makanan pada pagi sebelum pertandingan selepas mula mengalami sakit perut sejak Selasa lalu.

“Saya kena ciri birit sejak Selasa. Hari Rabu memang sakit perut sangat dan dua hari saya mengalami cirit-birit. Pagi tadi baru rasa lega,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangat pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar, Peris itu untuk turun beraksi, malah dia memilih untuk melupakan kesakitan dan memberikan segala-galanya dalam setiap lemparan.

Firdaus turut mengakui kejayaannya lebih bermakna apabila berjaya menewaskan atlet seniornya sendiri, Haziq Danial, namun dia tidak melihat persaingan itu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan secara peribadi.

“Saya tidak fikir apa-apa pun mengenai kalahkan senior. Saya cuma mahu berjuang untuk Perlis dan dapatkan pingat emas. Saya juga mahu kami berdua naik podium,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Cirit-birit tak halang Firdaus tuai emas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved