
SHAH ALAM, 24 OGOS: Kem badminton Selangor menutup saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan kilauan pingat emas selepas Muhammad Haziq Mohd Najib muncul juara perseorangan lelaki di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini, hari ini.
Turun pada penampilan sulungnya di pentas SUKMA, Muhammad Haziq menampilkan permainan bertenaga untuk menewaskan wakil Negeri Sembilan 21-12, 15-21, 21-15 dalam aksi rubber game yang berlangsung selama 57 minit.
Kemenangan itu cukup bermakna buat pemain berkenaan apabila penampilan pertama dan terakhirnya di pentas SUKMA berakhir dengan kejayaan meraih pingat emas.
Beliau bersyukur dengan kejayaan tersebut dan mendedikasikan kemenangan kepada jurulatih serta kelab yang dinaunginya, New Vision Badminton Academy.
“Sememangnya saya gembira dengan kemenangan ini. Ini penampilan pertama dan terakhir saya di SUKMA dan saya akhirinya dengan pingat emas.
“Jurulatih banyak membantu saya pada aksi final ini dan saya hanya mendengar nasihat daripadanya serta memberikan yang terbaik untuk menang,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, dalam aksi penentuan pingat gangsa perseorangan wanita yang berlangsung serentak, wakil Selangor Eng Ler Qi terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas tewas kepada pemain Perak.
Kecederaan pada bahagian lutut dilihat sedikit menjejaskan pergerakan Ler Qi sepanjang perlawanan.
Selangor turut gagal menambah pingat menerusi acara beregu wanita apabila gandingan Sheyeon Wong E-Shwen dan Tan Xin Yu tewas kepada pasangan Johor dalam aksi penentuan gangsa.
Kejayaan Muhammad Haziq itu sekali gus memastikan kem badminton Selangor menutup saingan SUKMA 2026 dengan tambahan satu lagi kilauan emas selepas skuad berpasukan wanita melakukannya pada acara berpasukan.





