
SHAH ALAM, 4 OGOS: Selangor tidak menjadikan peluang sebagai tuan rumah sebagai kelebihan untuk bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sebaliknya mahu semua acara dipertandingkan secara adil.
Justeru, EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata temasya dwitahunan itu mengutamakan acara bersifat objektif bagi membolehkan pemarkahan lebih telus dan adil kepada semua kontinjen.
Jelasnya, dengan langkah terbabit kualiti atlet dapat dinilai sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan industri sukan negara.
“Walaupun sebenarnya SUKMA ini beri kelebihan kepada tuan rumah, tapi kali ini pendekatan Selangor mahu pastikan dan beri ruang kepada semua negeri. Maksudnya kita tidak hanya tumpu kelebihan sendiri sahaja.
“Sebab itu ada beberapa sukan, di mana acaranya kita kurangkan terutama yang bersifat subjektif sebab ada kemungkinan dan kecenderungan untuk negeri yang menguasai sukan terbabit menguasai acara berkenaan.

“Jadi kita lebihkan acara objektif. Maksudnya dari segi pemarkahan itu lebih telus. Kita nak pastikan keadilan untuk semua negeri selain kualiti sukan,” katanya ketika menjadi tetamu Konti Sukan yang bersiaran langsung di Radio SelangorFM100.9 hari ini.
Mohd Najwan berkata secara keseluruhan 468 acara dari 37 sukan dipertandingkan dengan 30 melibatkan sukan berprestasi tinggi manakala tujuh adalah kategori sukan tambahan.
“Maknanya 30 sukan ini yang dah ditentukan dalam Olimpik, tujuh kita tambah. Kalau mana-mana negeri tuan rumah tak mahu anjur sukan tambahan ini, ia tak menjadi masalah.
“Mulanya kita nak letak 34 sukan sahaja tapi kita terima permintaan dari barisan atlet selain mendengar pendapat pelbagai pihak demi pembangunan sukan,” katanya.
SUKMA ke-22 akan berlangsung mulai 15 hingga 24 Ogos ini, membabitkan 52 venue di seluruh negeri, dengan majlis pembukaan dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Selain 14 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan. SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.






