SUKMA 2026: Semua lokasi pertandingan hampir 100 peratus bersih – KDEBWM

2 Sep 2026 • 5:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Semua lokasi pertandingan hampir 100 peratus bersih – KDEBWM

KUALA SELANGOR, 2 SEPT: Hampir semua lokasi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kini kembali bersih selepas KDEB Waste Management (KDEBWM) mempertingkat operasi kutipan dan pembersihan sejurus temasya itu berakhir.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata keadaan itu hasil persiapan awal pihaknya dengan menambah kru pembersihan, tong sampah serta kekerapan perjalanan lori bagi memastikan pengurusan sisa sepanjang temasya berjalan lancar.

Katanya, operasi pembersihan turut diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi lokasi di bawah seliaan PBT, manakala kawasan persendirian dikendalikan KDEBWM sendiri.

“Kita tambah tenaga kerja, kru dan lori, kita tambah tong sampah lagi, tambah trip lagi. Alhamdulillah, semua lokasi SUKMA ini telah pun dibersihkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kutipan Sisa Domestik dan Pembersihan Awam antara KDEBWM dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), di sini hari ini.

Image from: SUKMA 2026: Semua lokasi pertandingan hampir 100 peratus bersih – KDEBWM
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Mohamad Hanafe Basri merasmikan lori kompaktor baharu sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Kutipan Sisa Domestik dan Pembersihan Awam antara KDEBWM dan MPKS di Dewan Seri Siantan, Kuala Selangor pada 2 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, KDEBWM memperuntukkan tambahan RM240,000 bagi mempertingkat operasi pengurusan sisa di semua lokasi SUKMA 2026 selaras peranannya sebagai rakan penaja rasmi temasya berkenaan.

Peruntukan itu meliputi penambahan tenaga kerja, tong sampah dan kutipan sisa bagi memastikan kebersihan lokasi pertandingan sepanjang temasya.

Dalam pada itu, Ramli mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Selangor atas kejayaan menganjurkan SUKMA serta kontinjen negeri yang muncul juara keseluruhan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

“Saya amat bergembira dengan kejayaan kontinjen Selangor, tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri yang berjaya menganjurkan SUKMA dan menjadi juara dengan 101 pingat emas,” katanya.

Selangor turut mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya di temasya berkenaan selepas melepasi sasaran awal 80 pingat emas, dengan sukan renang menjadi penyumbang emas terbesar menerusi 20 daripada keseluruhan 41 emas yang dipertandingkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved