
KOTA KINABALU: Sabah menambah empat pingat emas dan dua perak dalam kutipan pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 ke-22, semalam.
Skuad menembak menjadi penyumbang utama dengan dua pingat emas menerusi acara 10m Air Rifle berpasukan lelaki yang dianggotai Yusezzany Jaidi, Dexter Dean Jonius dan Hanson Francis Chong selepas mengumpul 1,824.6 mata.
Nur Aina Nataysa Anderson pula meraih emas dalam acara 10m Air Rifle individu wanita dengan catatan 244.8 mata.
Pengurus pasukan Jeffery Wong yang jelas teruja mengakui beliau terkejut dengan prestasi cemerlang skuadnya pada hari pertama pertandingan.
“Memang kami mengharapkan sesuatu tetapi kemenangan emas hari ini melebihi jangkaan kami. Ini satu pencapaian bersejarah kerana ia merupakan emas pertama Sabah dalam tempoh lebih dua dekad.
“Saya benar-benar tidak dapat berkata apa-apa. Saya berharap kejayaan luar biasa penembak kita ini dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan menembak di Sabah,” katanya.
Skuad menembak sebelum ini menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pinga dengan sasaran hanya satu emas sebelum temasya bermula.
Sementara itu, memanah menyumbang emas pertama kontinjen Sabah menerusi Catherine Looi Mei Qi dalam acara compound 50m wanita selepas mengumpul 683 mata.
Satu lagi emas disumbangkan Nur Denisha Shazliatie Abdullah dalam acara 3,000m lari berhalangan wanita.
Dia mendominasi acara berkenaan dengan catatan masa 12:29.30 saat untuk muncul juara manakala rakan sepasukan Ledia Engku meraih perak selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 12:36.98 saat.
Satu lagi pingat perak disumbangkan kuartet 4x100m lelaki yang dibarisi Muhammad Muzaffar Shah, Mohd Azri Mohammad, Muhammad Nurmansyah dan Carlson Camilus.
Mereka mencatat masa 39.88 saat untuk menduduki tempat kedua di belakang kuartet Johor yang mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 39.46 saat.
Sehingga berita ini ditulis, kutipan pingat Sabah ialah tujuh emas, empat perak dan empat gangsa.






