
SUBANG JAYA: Penembak Pahang, Cheah Zen Hong terus mengganas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila menambah dua lagi pingat emas untuk menyamai kutipan tujuh emas yang diraihnya di Sarawak dua tahun lalu.
Zen Hong, 20, mengukuhkan dominasinya selepas membantu Pahang meraih emas acara 25 meter (m) Air pistol standard berpasukan sebelum sekali lagi menaiki podium tertinggi dalam acara 10m pistol udara berpasukan campuran, semalam.
Kejayaan itu turut diselitkan dengan pingat perak dalam acara 25m pistol standard individu, sekali gus menjadikan koleksi penembak muda berkenaan kini tujuh emas dan satu perak.
Lebih menarik, Zen Hong masih berpeluang menambah koleksi pingatnya pada hari terakhir saingan hari ini dan mahu menutup kempen SUKMA kali ini dengan prestasi terbaik.
“Sejujurnya, fokus saya sedikit terganggu hari ini (semalam), tetapi saya akan cuba mendapatkannya semula esok (hari ini), mengembalikan momentum dan berharap dapat menamatkan saingan dengan cemerlang.
“Ada beberapa acara di sini yang saya tidak beraksi dengan baik, tetapi saya akan terus berjuang sehingga acara terakhir dan cuba memenangi lebih banyak emas untuk Pahang,” katanya.
Dalam aksi di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang semalam, Zen Hong terlebih dahulu membantu Ahmad Danial Hakim dan Zainal Azim meraih emas 25m pistol standard berpasukan selepas mengumpul keseluruhan 1,620 mata.
Selangor yang dibarisi Thaqif Norhaqeem, Amzar Afif dan Aniq Ammar Al-Syahmi meraih perak dengan 1,581 mata, manakala Terengganu gangsa menerusi Banin Al Ghazali, Toh Eu Jin dan Ikhwan Farrisz selepas mengumpul 1,566 mata.
Zen Hong kemudian bergandingan dengan Damia Hani Sakran dalam acara 10m Air pistol berpasukan campuran dan pasangan itu mengumpul 472.1 mata untuk menghadiahkan satu lagi emas buat Pahang.
Sarawak meraih perak menerusi Cynthia Grace-Justin Joanes dengan 454.9 mata, manakala pasangan Terengganu, Wan Nur Annisa-Toh Eu Juinn, membawa pulang gangsa selepas mengumpul 386.2 mata.-UTUSAN
The post Zen Hong masih dahagakan emas appeared first on Utusan Malaysia.



