
SHAH ALAM – Sebanyak 46 kompaun dikeluarkan dalam operasi bersepadu pematuhan di kalangan peniaga tempatan sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini.
Operasi bermula pukul 10.45 pagi tadi dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, operasi memfokuskan kepada aspek pematuhan perundangan, kebersihan, kesihatan serta pendaftaran dan pelesenan perniagaan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak peniaga.
“Berdasarkan pemeriksaan, KPDN Selangor mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“MBSA pula mengeluarkan 31 kompaun, manakala SSM sebanyak 10 kompaun atas ketidakpatuhan yang dikesan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan satu notis dikeluarkan KKM atas kesalahan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.
Dalam pada itu, Mohd. Hanizam memaklumkan sebanyak 84,438 pemeriksaan dijalankan tahun ini membabitkan pelbagai akta di bawah bidang kuasa kementerian.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,807 kes direkodkan dengan nilai kompaun keseluruhan RM20,000. Manakala nilai rampasan mencecah kira-kira RM9.3 juta,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma: 46 kompaun dikenakan pada peniaga appeared first on Kosmo Digital.






