Sukma 2026: Dhuha buru gelaran Olahragawan

19 Aug 2026 • 7:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Dhuha buru gelaran Olahragawan

SHAH ALAM – Selepas terlepas gelaran Olahragawan dua tahun lalu, perenang Wilayah Persekutuan, Muhammad Dhuha Zulfikry kembali ke Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dengan satu misi besar untuk merealisasikan impiannya meraih pengiktirafan tersebut.

Hasrat itu semakin mendapat suntikan apabila Dhuha berjaya mempertahankan pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan 1 minit 51.91 saat (s), selepas turut mengungguli acara sama pada Sukma Sarawak 2024.

Dhuha menewaskan wakil Pulau Pinang, Samuel Chong Weng Lai yang meraih perak dengan catatan 1:52.34s, manakala gangsa menjadi milik perenang Selangor, Goh Li Jie menerusi masa 1:52.67s.

Perenang negara itu mengakui gelaran Olahragawan menjadi antara sasaran utamanya pada penampilan Sukma ketiga selepas terlepas peluang tersebut kepada perenang Selangor, Andrew Goh pada edisi dua tahun lalu.

“Untuk Sukma tahun ini, saya memang menyasarkan gelaran Olahragawan kerana pada edisi lalu saya tidak berpeluang mendapatkannya. Jadi, saya mahu menebusnya kali ini kerana itu memang impian saya,” katanya.

Dhuha yang meraih enam emas pada Sukma Sarawak 2024 sekali lagi membawa misi besar kali ini apabila menyasarkan untuk menaiki podium dalam kesemua enam acara individu yang disertainya, malah berharap mampu menukarkannya kepada enam pingat emas.

Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Dhuha hanya meraih satu emas menerusi acara berganti-ganti sebelum melonjak dengan pencapaian enam emas dua tahun kemudian, masing-masing lima menerusi acara individu dan satu berganti-ganti.

Dhuha bagaimanapun tidak terlalu memikirkan kemungkinan mencipta rekod kebangsaan pada Sukma kali ini, sebaliknya mahu memberikan aksi terbaik dalam baki acara yang disertainya bagi memperkukuh peluang merealisasikan impian bergelar Olahragawan Sukma. KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Dhuha buru gelaran Olahragawan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved